Sunday 3 June 2012

TOKKU PALOH, ULAMA HEBAT TERENGGANU

Assalamualaikum wbkt..

Kalau kita tanya anak anak kita..siapa Tuan Tulis dari Negeri Sembilan, siapa Syeikh Mohammad Nor al-Kholidi dan Tokku Paloh dari Terengganu, Syeikh Said al-Linggi yang juga berasal dari Negeri Sembilan, Habib Nuh dari Singapura,  Tok Kenali dari Kelantan dan Tuan Hussein Kedah al-Banjari dari Kedah, tentu mereka tak tahu dan tak kenal pun.  Tak payah kata anak anak,  kita yang dah separuh abad pun tak kenal dengan mereka..jadi mula dari sekarang marilah kita galakkan diri kita dan anak anak untuk mengenali insan insan hebat ini..supaya membenih di jiwa anak anak cintakan ulama terdahulu dan ingin menjadi hebat seperti mereka..bukan sahaja di mata masyarakat malah yang paling penting di sisi yang Maha Esa..





Siapa Tokku Paloh


(artikel diambil dari blog : Catatan Si Merah Silu ; tetapi tidak sepenuhnya)


meninggal ketika berumur 102 tahun..



Masyarakat Malaysia yang celik sejarah perkembangan Islam di Kepulauan Melayu serta cerita para wali yang terlibat mesti pernah mendengar nama Tokku Paloh. Beliau atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus adalah ulamak terkenal yang menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III, pemerintah Terengganu penghujung abad ke 19. Tokku Paloh juga dikenali sebagai wali Allah penuh karamah yang sangat ditakuti penjajah.

Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.





Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)


Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah kepada Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tokku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya... Maksudnya Tokku Paloh lah yang lebih berhak membuat keputusan. Pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Tokku Paloh bertegas tidak mahu memberi walau seinci pun tanah. Inggeris yang berang bangun untuk menunjukkan kemarahan tetapi kerusi pula melekat dipunggung mereka. Lalu Tokku Paloh memerli mereka: "Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari..."


Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tokku Paloh berunding di atas kapal perang. Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamirkan kekuatan angkatan laut mereka dengan meriam berkuasa tinggi yang mampu membedil pantai Terengganu, satu taktik yang dikenali sebagai "gunboat diplomacy". Tokku Paloh cuma menyengetkan serbannya lalu seluruh armada kapal laut Inggeris turut senget sama! Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang. Ini menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.  Selepas beliau meninggal dunia, tepat pada 24 Mei 1919  barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.




Makam-makam di atas puncak bukit... Ini adalah makam sanak-saudara Tok Ku Paloh seperti sepupu, saudara dua pupu, ibu saudara dan sebagainya...



Makam Tok Ku Paloh dan sanak-saudaranya yang terdekat, di dalam kawasan berpagar batu yang kelihatan ini...



Makam Tok Ku Paloh pula terletak di dalam kawasan berpagar besi yang terkunci... 



Makam itu terletak 2km daripada Kampung Paloh iaitu di suatu tempat bernama Cabang Tiga... Di Masjid Tokku Tuan Besar yang memakai nama sempena nama gelaran ayahandanya itu!



Di belakang masjid ini, terletak makam Tokku Tuan Besar...Tokku Tuan Besar ialah satu gelaran yang diberikan kepada beliau kerana pernah menjadi ketua ulamak Terengganu pada zamannya... 

Nama penuh Tokku Paloh ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad (Tokku Tuan Besar) bin Sayyid Zainal Abidin bin Sayyid Sheikh @ Sayyid Hussein bin Sayyid Mustapha.

KRU Surau Kg Tengah telah menziarah dan bertahlil di makam ini pada hari ahad,  hubby terlepas dengan program ini..

1 comment: