Sunday, 10 June 2012

MENGINGATI KEMBALI PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Berlaku pada tarikh 27 Rejab, sebelum hijrah.


Sebelum peristiwa tersebut, Rasulullah saw telah mengalami pembedahan dada dilakukan oleh Malaikat Jibril dan Mikail. Hati baginda telah dicuci dengan air zam zam, dibuang ketul ketul hitam (alaqah) tempat syaitan membisikkan perasaan was was. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah saw. Selepas itu dada baginda telah dimaterikan dengan "Khatimin Nubuwwah". Selesai pembedahan, baginda didatangkan dengan seekor binatang bernama BURAQ. Baginda telah menunggangnya dalam perjalanan luarbiasa yang dinamakan ISRAK.


ISRAk (perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjid Al - Aqsa)

Sepanjang Israk, Rasulullah saw telah diiringi oleh Malaikat Jibril dan Israfil. Tiba ditempat tempat bersejarah, malaikat telah diarahkan oleh Jibril untuk berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat itu ialah ;

NEGERI THAIBAH (MADINAH)
Tempat dimana Rasulullah saw akan berhijrah.

BUKIT TURSINA
Tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah swt

BAITUL LAHAM
Tempat Nabi Isa as dilahirkan

Didalam perjalanan inilah Rasulullah saw telah diganggu oleh Jin Affrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa simbolik yang amat ajaib diantaranya ;

KAUM BERCUCUK TANAM

Rasulullah saw telah melihat satu kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman tersebut. Apabila dituai, hasil yang baru mula keluar, seolah olah belum dituai. Hal ini berlaku berulang ulang. Lalu Rasulullah saw bertanya kepada Jibril dan diberitahu oleh Jibril bahawa itu adalah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkanb sehingga gandaan yang lebih banyak.

TEMPAT BERBAU HARUM

Rasulullah saw telah diberitahu oleh Jibril itu adalah bau kubur Masyitah, tukang sisir rambut anak Firaun bersama suami dan anak anaknya termasuk bayi yang berkata kata untuk memujuk ibunya supaya menguatkan iman. Mereka telah dibunuh oleh Firaun kerana tidak mengaku Firaun itu tuhan.

SEKUMPULAN MANUSIA MEMECAHKAN KEPALA SENDIRI

Rasulullah saw telah melihat sekumpulan manusia telah memecahkan kepala mereka sendiri ke batu. Setiap kali pecah, kepala itu akan sembuh kembali lalu dipecahkan lagi, dan kejadian itu berulang tanpa henti. Jibril memberitahu Rasulullah saw itu adalah golongan manusia yang malas atau berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah swt..yakni tidak solat.

MENUTUP KEMALUAN DENGAN SECEBIS KAIN

Rasullah saw juga telah melihat sekumpulan manusia yang terlanjang. Tetapi mereka hanya menutup kemaluan yakni qubul dan dubur dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka memakan bara api dan batu dari neraka jahannam. Jibril menerangkan itu adalah manusia yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

MAKAN DAGING MENTAH DAN BUSUK

Terlihat sekumpulan manusia yang memakan daging mentah yang telah busuk sedangkan daging masak ada di sebelah mereka. Jibril menerangkan itu adalah golongan lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan masing masing mempunyai suami isteri yang sah.

LELAKI BERENANG DALAM SUNGAI

Kelihatan seorang lelaki berenang di dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Jibril menerangkan itu adalah golongan manusia yang memakan riba..

LELAKI MEMBAWA KAYU

Rasulullah saw telah melihat lelaki yang telah mengumpul seberkas kayu dan dia tak berdaya memikulnya tetapi telah menambah lagi kayu yang lain. Jibril mengatakan itu adalah orang yang tidak menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

MENGUNTING LIDAH DAN BIBIR

Terlihat satu kaum yang menggunting lidah dan bibir, bila terputus tiba tiba ia tumbuh kembali. Lalu diguntingnya kembali dan keadaan itu berulang ulang tanpa henti. Jibril mengatakan itu adalah golongan orang yang suka menabur fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

MENCAKAR MUKA DAN DADA

Satu kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Jibril mengatakan itu adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela dan menghina) orang lain.

LEMBU KELUAR DARI LUBANG SEMPIT

Seekor lembu yang sangat besar telah keluar dari lubang yang sempit. Lembu itu berusaha untuk masuk ke lubang sempit itu semula tetapi tidak berjaya. Jibril mengatakan itu adalah golongan orang yang bercakap besar (Takabbur), kemudian menyesal tetapi telah terlambat.

SEORANG PEREMPUAN DENGAN DULANG DIPENUHI HIASAN

Terlihat oleh Rasulullah saw akan seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah saw tidak memperdulikannya. Jibril mengatakan itulah dunia. Jika Rasulullah saw memperdulikan perempuan itu nescaya umat islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat..

PEREMPUAN TUA

Rasulullah saw terserempak dengan seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah saw berhenti. Rasulullah saw tidak menghiraukannya. Jibril mengatakan itulah orang yang mensia siakan umurnya sampai ke tua..

PEREMPUAN BONGKOK TIGA

Seorang perempuan tua yang telah bongkok tiga menahan Rasulullah saw untuk bertanyakan sesuatu. Jibril mengatakan itu adalah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah saw turun dari Buraq. Kemudian baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbiya dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah saw terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah saw telah memilih susu lalu meminumnya. Kata Jibril baginda telah membuat pilihan yang betul. Jika Rasulullah saw memilih arak nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


MIKRAJ (NAIK KE HADHRATUL QUDUS)


Rasulullah saw telah didatangkan Mikraj (tangga) yang sangat indah dari syurga. Rasulullah saw bersama Jibril telah menaiki tangga tersebut, ketika di atas tangga pertama lalu mereka terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

LANGIT PERTAMA

Baginda dan Jibril telah melangkah ke langit pertama. Orang yang pertama ditemui oleh Rasulullah saw ialah Nabi Adam as. Di sini juga Rasulullah telah menyaksikan balasan ke atas orang orang yang makan riba dan harta anak yatim. Melihat orang yang berzina yang mempunyai rupa dan kelakuan yang sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

LANGIT KE DUA

Rasulullah saw dan Jibril telah melangkah ke tangga langit ke dua. Ketika masuk mereka telah bertemu dengan Nabi Isa as dan Nabi Yahya as.

LANGIT KE TIGA

Rasulullah meneruskan langkahnya menuju ke langit ke tiga. Di sini baginda bertemu dengan Nabi Yusuf as.

LANGIT KE EMPAT

Ketika sampai di langit ke empat baginda bertemu dengan Nabi Idris as.

LANGIT KE LIMA

Mereka meneruskan perjalanan hingga ke langit ke lima. Di langit ke lima baginda bertemu dengan Nabi Harun as yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

LANGIT KE ENAM

Selepas itu Baginda dan Jibril tiba di langit ke enam. Di sini baginda telah bertemu dengan para nabi dan Nabi Musa as. Jibril telah meminta Rasulullah saw mengangkat kepalanya untuk melihat umat baginda yang ramai, termasuklah 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

LANGIT KE TUJUH

Ketika sampai di langit ke tujuh, di sini baginda telah bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma 'mur dan dihadapi oleh kaumnya. 

Ketika inilah Nabi Ibrahim as telah bersabda ;

"Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umat mu adalah umat akhir dan terlalu daif maka berdoalah untuk umat mu. Suruhlah umat mu menanam tanaman syurga iaitu " LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH".


Menurut hadis lain, Nabi Ibrahim as telah bersabda ; 

"Sampaikan salamku kepada umat mu dan beritahu kepada mereka Syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya adalah lima kalimah iaitu : SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH WA LAH ILAHAILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WALA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHIL ALIYYIL AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok di dalam syurga."


Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah saw dan Jibril telah melangkah ke dalam Baitul Ma'mur dan bersembahyang di dalamnya. (Baitul Ma'mur ini betul betul berada di atas Baitullah di Mekah)

TANGGA KE LAPAN

Ketika Baginda di tangga ke lapan. Di sinilah disebut "AL-KURSI" yang betul betul dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Baginda saw telah melihat pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah buahan, daun daun, batang dan dahannya berubah ubah warna dan bertukar menjadi permata permata yang sangat indah. 

Unggas unggas emas berterbangan. Semua keindahan ini tidak tergambarkan oleh manusia. Baginda saw dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke dalam syurga. Seterusnya Baginda saw telah masuk ke dalam syurga dan melihat neraka serta penjaga neraka yaitu Malaikat Malik.

TANGGA KE SEMBILAN

Disini dikatakan betul betul berada dengan pucuk pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah saw telah masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang manusia yang ghaib di dalam nur arasy, iaitu lelaki yang sering basah lidahnya berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Rabbul-Arbab Rasulullah saw telah bertemu dengan Allah swt. Lalu terjadilah dialog antara Allah swt dan kekasihnya Rasulullah saw.

Allah swt telah berkata "Ya Muhammad"

Rasulullah saw menjawab " Labbaika Allah"

Allah swt bersabda "Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, kami perkenankan"

Rasulullah saw berkata " Ya Rab, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata kata denga Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau Kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapapun dan memudahkan Sulaiman menguasai Jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin Mu dia dapat menyembuhkan orang yang buta, sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan."

Allah swt berkata "Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umat mu sebaik baik umat. Aku berikan keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (SURAH AL FATIHAH) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikan mu ayat ayat di akhir surah al Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakan mu panji panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji panjimu. Dan aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai bermunajat, Rasulullah saw telah di bawa bertemu dengan Nabi Ibrahim as, kemudian dengan Nabi Musa as yang telah menyuruh Rasulullah saw merayu kepada Allah swt agar dikurangkan jumlah waktu sembahyang kerana sembahyang sebanyak itu tidak akan mampu dilakukan oleh umat Rasulullah saw. Selepas sembilan kali merayu, di mana setiap kali rayuan Rasulullah mendapat pengurangan sebanyak lima waktu. Nabi Musa as berkata masih tidak mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad saw, lalu disuruhnya lagi Rasulullah saw bertemu Allah swt untuk yang ke sepuluh kalinya. Tetapi Rasulullah saw tidak mahu kerana sangat malu dengan Allah swt selepas sembilan kali merayu kepada Allah swt. 

Begitulah akhirnya solat kita telah difardukan sebanyak lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak lima puluh waktu juga.


SELEPAS MIKRAJ

Setelah selesai semua urusan akhirnya Rasulllah saw telah turun ke langit dunia semula. Seterusnya terus ke Baitul Maqdis. Lalu menaiki Buraq dan menuju ke Mekah pada malam yang sama. Di dalam perjalanan ini Baginda saw telah bertemu dengan beberapa peristiwa yang akhirnya menjadi saksi akan kebenaran peristiwa Israk Mikraj ini. Peristiwa ajaib ini dikatakan berlaku pada Malam Isnin, 27 Rejab. Kira kira 18 bulan sebelum hijrah. 



Di salin dari Pustaka Tarbiah

No comments:

Post a Comment