POLITIK LA PULAK

Assalamualaikum semua. Entah kenapa laa pulak mama teringin sangat nak cerita senario yang tak berapa bagus yang telah terjadi kat negara kita yang tercinta ini.  Korang jangan pula terasa hati atau marah marah dekat mama yaa...ini sekadar coretan dari seorang ibu yang suka duduk di dapur, kerjanya setiap hari memasak, membasuh, membantu anak anak membuat kerja sekolah, berkemas..sudah tentu banyak cabangnya dari dalam bilik tidur, dapur, bilik air, ruang tamu, siling rumah, bawah rumah, keliling rumah...banyak rupanya division dalam pejabat mama ni.  Jadi jika sempit fikiran mama kamu semua kenalah faham dan menghormati pendapat masing masing..yer tak..? hehehe..jangan marah haa..

Memanglah mama terlalu sibuk di rumah tetapi hal hal semasa terutama hal politik kadang kadang menyentuh jiwa juga.  Di ruang ini mama mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa hati..mungkin tidak dilihat dan dipandang,  sekurang kurangnya apa yang terbuku di hati boleh mama buangkan di sini jadi kuranglah beban sedih di hati mama ni.

Isu BERSIH rasanya masih panas lagi kot al maklumlah masih belum ada perlaksanaan di atas permintaan yang dibuat oleh mereka yang bertanggungjawab.  Tetapi apa yang pasti jika kita bertanya kepada pihak pihak tertentu masing masing akan mendabik dada mengatakan mereka telah berjaya di dalam agenda dan perjuangan.  Jerat sudah mengena,  kain sudah terselak,  buruknya kudis sudah terlihat.  Siapa jahat, siapa kejam, siapa tidak adil telah dicop hasil dari peristiwa ini.  Ada juga yang dengan bangga mengatakan telah berjaya menghentikan tindakan rakyat yang mengadakan demonstrasi haram.  Ada pula yang hanya duduk atas pagar memerhati ketawa terbahak bahak melihat apa yang terjadi.


Namun dendam kesumat masih di hati.  Luka rakyat masih belum sembuh malah dilukai lagi dengan pelbagai beban terutama kenaikan bil dan harga barang yang semakin menjadi jadi,  mama salah salah seorang dari ibu ibu kat Malaysia yang terpaksa memerah otak untuk berjimat cermat al maklumlah pendapatan datangnya dari suami sahaja.  Alhamdulillah masih boleh bertahan,  makan nasi masih mampu dua kali sehari,  belum masuk sarapan dan minum petang,  pokoknya perut ni masih belum kelaparan lagi laa..tetapi mama mungkin dikalangan yang bernasib baik,  mama juga terkenangkan orang yang lagi susah dari mama yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang...ermm..kenapa kita tidak beriya iya membenteras kemiskinan begini..mama juga tertanya tanya mampukah mereka menyuapkan nasi ke dalam mulut anak anak dan diri sendiri dek kerakusan yang di atas menaikkan harga barang sewenang wenang sambil membanding bandingkan dengan negara negara jiran yang lain.  Bagi mama..Malaysia ni sangat kaya dan mewah,  masakan tidak...terlalu banyak pembangunan telah dilakukan,  mama sendiri takut nak ke Kuala Lumpur..huhh..bangunan tinggi berdiri dengan angkuh seolah olah menunjukkan kehebatan aku lagi bagus, terlihat di mata mama kita ini terlalu mengejar kebendaan dan nama.  Berbilion duit rakyat digunakan untuk pembangunan dan infrastruktur, sampai negara berhutang dengan bank dunia, nah mana nak cari duit bayar hutang..sudah tentu dari macam macam cukai yang dibayar oleh rakyat, cukai perkhidmatan, cukai tv berbayar, sampai makanpun kena cukai,  tak tercerita dek mama,  semua ini semata mata untuk yang dinamakan Kemajuan dan Kemodenan.  Rakyat yang tidak mampu bersuara ini dan tidak pandai berkata kata kerana tidak berpendidikan hanya mampu menelan penderitaan.

Berbalik kepada kes BERSIH,  mama tertanya tanya kenapa perlu berdemonstrasi untuk menghantar memorandum kepada Sultan.  Mama juga tertanya tanya kenapa tak izinkan saja mereka berdemonstrasi secara aman,  polis, tentera, FRU, udara ada, darat ada, laut ada...kerah sajalah untuk menjaga keamanan di sepanjang jalan.  Rasanya tak sampai 10 peratus daripada mereka yang kita perlukan kerana jarak demonstrasi bukannya dari kedah ke Kuala Lumpur atau dari Johor ke Kuala Lumpur, takat KL jer..biarlah mereka buat asalkan tidak terjadi sebarang rusuhan.  Melalui apa yang mama lihat selalunya rusuhan terjadi kerana mereka diganggu, dihalang dan tiba tiba diserang,  siapa siapapun akan naik angin.

Nah..izinkan saja...sudah tentu pada hari itu peniaga peniaga yang takut kerugian akan menanggung keuntungan berlipat kali ganda terutama peniaga makanan,  lepas penat berjalan jauh sudah tentu mereka kelaparan,  haa perut yang kosong tentu nak di isi..mana lagi kalau bukan kedai makan di sepanjang jalan masjid india, chow kit, fast food  di mana mana kat kuala lumpur akan menjadi tumpuan.  Kan menjana ekonomi tu...

Mama bukan kategori rakyat yang suka tengok berita di tv,  bukan apa kadang kadang mama rasa macam berat sebelah pun ada.  Jadi mama suka jadi pemerhati melalui pembacaan,  jadi mama akan simpulkan sendiri .  Jadi pendapat mama sangat natural tidak memihak kepada sesiapa.

Mama sedih melihat rakyat yang merasa ikhlas berjuang telah dipukul dan di sakiti dengan asap pemedih mata.  Mama sanjung akan keberanian mereka, memang bangsa melayu adalah bangsa yang sangat hebat dalam memperjuangkan negara dan bangsa.  Tetapi sedarkah mereka apa yang sedang perjuangkan..?.  Adakah mereka kaji peranan demonstrasi itu sendiri dan pernahkah mereka fikir siapa yang mereka tentang, siapa yang mereka junjung menjadi kepala perjuangan, apakah implikasi kepada umat islam dan ISLAM itu sendiri.  Kebanyakan dari kita tidak mengetahui matlamat sebenar perjuangan mereka,  hanya yang ada di hati mereka pemimpin kejam, tidak adil, rasuah, kuku besi, mereka perlu dijatuhkan dan melantik pemimpin baru.  

Pemimpin Akhir Zaman Macam kisah Pokok dan Buah

Mama teringat akan cerita abah mama,  mama ingat ingat lupa tetapi intipatinya masih kuat di dalam kepala otak.  Abah mama kata pada zaman Rasulullah saw,  ada seorang bapa telah datang menemui baginda dan meminta supaya baginda berdoa kepada Allah supaya dia dapat bertemu dengan anaknya yang telah meninggal syahid.  Rasullullah saw telah berdoa kepada Allah dan doa itu telah diperkenankan.  Lalu baginda mengarahkan bapa itu pergi ke satu tempat dan di tempat itu bapa itu akan bertemu dengan arwah anaknya.  Lalu pergilah bapa itu ke tempat yang di arahkan oleh Rasullullah saw,   ketika dalam perjalanan itu bapa tadi telah bertemu dengan tiga buah perigi,  kelihatan dua perigi besar mengapit perigi kecil di tengah tengahnya.  Bapa itu juga sangat pelik melihat perigi besar itu saling melimpahi air di antara satu sama lain manakala perigi kecil di tengahnya kelihatan sangat kering dan gersang.  

Kemudian  perjalanan di teruskan lagi,  kali ini bapa tadi sangat letih, lapar dan haus. Tiba tiba dia terlihat sebatang pokok yang sangat besar dan buahnya sangat ranum kemerah merahan.  Lalu bapa tadi menghampiri pokok tadi sambil bersandar di perdunya melepas lelah dari perjalanan yang jauh.  Sambil memandang buah yang bergayutan di atas kepalanya,  tekaknya sangat terliur lalu mencapai sebiji yang hampir dengannya.  Tiba tiba buah di atas dahan  itu berkata kata.."wahai manusia jangan kau petik dia,  buahnya tidak elok, petiklah aku",  bapa tadi sedikit terkejut lalu bangun dan mencapai buah yang berkata kata tadi,  baru tangannya hendak memulas buah itu kedengaran suara di atas pula,  "wahai manusia jangan kau petik dia...isinya berulat...petiklah aku, isiku elok dan manis", disebabkan buah itu berada di tempat tinggi bapa tadi terpaksa memanjat pokok tadi dan mengapai buah yang berkata kata tadi, "wahai manusia baik kau ambil aku,  aku lagi elok, lagi manis, tak usah kau ambil dia,  dia hanya pandai berkata kata", bapa tadi panjat lagi dahan yang semakin tinggi dan berlarutan hingga tiba di pucuk ada sebiji buah juga mengaku dia lagi bagus dari buah buah yang lain.  Bapa tadi terhenti dan tawar hati untuk memetik buah tersebut lalu meninggalkan pokok yang berbuah ranum tadi.

Akhirnya tibalah bapa tadi di satu persimpangan dan bertemu dengan arwah anaknya,  bapa tadi sangat gembira lalu memeluk dan mencium untuk melepas rindu.  Lalu anaknya berkata " bagaimana bapa boleh ada di sini, di sini bukan tempat ayah,  di sini adalah tempat para roh"  , lalu bapa tadi menceritakan kepada anaknya bagaimana dia boleh sampai ke situ.  Setelah memahami keadaan yang sebenar anak tadi menyuruh supaya bapanya kembali sambil menunjukkan jalan.  Setelah puas melepaskan rindu dan puas hatinya dapat bertemu dengan anaknya,  bapa tadi kembali semula bertemu Rasullullah saw.

Ketika bertemu Rasullullah saw,  lalu ditanyakan oleh Rasullullah apa yang si bapa jumpa sepanjang perjalanan hebatnya itu.  Lalu bapa tadi menceritakan perihal perigi dan pokok.  Lalu Rasullullah saw menyatakan akan maksud peristiwa itu,  peristiwa perigi itu adalah gambaran akhir zaman di mana para pemimpin hanya menjaga kepentingan mereka sahaja tanpa memperdulikan rakyat sehingga rakyat merana dan sengsara.  Manakala buah dan pokok itu pula adalah gambaran di akhir zaman semua mahu menjadi pemimpin dan semua mengatakan mereka adalah bagus dan betul,  "pilihlah aku..pilihlah aku"  tetapi hakikatnya mereka sangat bongkak dan sifat itu adalah perkara yang di benci Allah.

Rasulullah sendiri telah memperlihatkan akan kerakusan pemimpin di akhir zaman (semestinya kita adalah golongan akhir zaman).  Benarkah pemimpin kita hebat seperti yang diakuinya dan benarkah pemimpin yang ingin kita pilih hebat seperti yang diperkatakannya?

Berbalik kepada BERSIH,  siapa agaknya pelopornyakan..?  Mama ada terbaca mereka dipelopor oleh sebuah badan NGO yang berpengkalan di Washington iaitu "National Endowment For Democracy.  Mereka mempunyai jaringan seluruh dunia dan mengelarkan diri mereka sebagai "Word Movement Of Democracy".  Mereka berimankan manusia itu sejagat, adalah sama, menolak keistimewaan bangsa termasuk agama. Atau lebih tepat "Human Right".  Kadang kadang bila fikir balik...betul pulak teori "FREEMASON"  tu..ermm..

"FREEMASON"  yang dikatakan tidak takut lagi menonjolkan diri.  New World Order bukanlah satu rahsia lagi ...agenda nya semakin berjaya dan sememangnya kita telah dikelilingi oleh mereka.  Adakah apa yang terjadi di Malaysia adalah agenda mereka untuk melihat umat melayu dan islam pula hancur dan memudahkan diri mereka untuk bertapak dan menyebarkan fahaman Dajjal..?

Mereka telah melancarkan strategi supaya rakyat boleh digerakkan untuk mendesak kerajaan menerima tuntutan mereka.  BERSIH dari mata mama bukanlah suara NGO tetapi agenda dari puak puak ini.  Orang Melayu dan Islam telah dipergunakan untuk memperjuangkan agenda mereka.

Siapa pemimpin BERSIH,  siapa tak kenal Ambeega,  anak mama berumur tujuh tahu juga kenal Ambeega,  seorang wanita yang dikatakan hebat memimpin beribu ribu orang melayu membuat demonstrasi....memang hebat kerana mata dan akal melayu telah kabur dan lupa.  Mereka lupa siapa Ambeega hingga sanggup bersusun dan bersuara untuk mempertahankan pemimpin mereka.


Masih ingatkah lagi kita tuntutan IFC, beliau adalah tulang belakang menghantar memorandum menuntut Perlaksanaan Suruhanjaya Antaran Agama.  Mengadakan forum mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan beragama kepada orang islam.  Penyokong tegar kes murtad di kalangan orang melayu islam, ingatkah kita lagi kes Lina Joy.  Beliau sanggup menawarkan khidmat percuma sekiranya kes mereka di bawa ke mahkamah persekutuan.  Beliau juga menyokong seorang wanita india bukan islam supaya dibenarkan menjadi peguam syarie di mahkamah syariah.  Badan badan NGO "ISLAM" bermati matian bertungkus lumus mempertahankan islam dan hak kita sebagai orang islam dan negara islam di bumi Malaysia ini.

Kenapa orang kita tidak melihat latar siapa dia..? Siapakah di alat dan diperalatkan..? Siapa bergaduh sesama sendiri..?  Siapa tertangkap dan paling ramai masuk dalam lokap..?  Siapa tercedera, Siapa yang meninggal dunia..?  Siapa pula yang ingin di jatuhkan...?  terjawabkah...?  sedarkah..?

Semua dihujah kerana dasar pemimpin korup, lemah dalam menerajui ekonomi dan pemerintahan.  Siapakah pemimpin kita..? manusiakah..? malaikatkah..?.  Sememangnya Allah mengatakan kejadian manusia itu adalah sangat hebat dan terlebih bagus dari kejadiannya yang lain,  tetapi jangan lupa manusia itu sendiri adalah manusia yang sangat lemah,  memang dia hebat di dalam satu perkara,  disamping itu dia juga ada kelemahannya.

Tiada nas sahih mengatakan umat islam boleh berkerjasama dengan bukan islam untuk menjatuhkan saudara seislamnya sendiri....semua telah dibayangi oleh kerakusan kuasa.  Siapa ketua..? siapa biaya..? apa agenda..? apa kesannya kepada umat islam itu sendiri..?  tidak dihitung oleh kita....apa yang penting nak tolak kerajaan biar jatuh tersungkur dan menjunjung seorang pemimpin baru yang mengatakan mereka bagus.  Memang sebijik macam cerita pokok dan buah..ermm...

Fikiran rakyat tidak lagi diisi dengan ilmu agama yang mantap dan semangat jati diri melayu menyebabkan mereka mudah diisim dengan propaganda barat.  Islam tidak kenal lagi siapa Saudara Seislam,  rakan atau musuh, apa yang berbeza dan mana yang harus kita bersama..  Orang Islam telah terkeliru dengan istilah Demokrasi, Liberalisasi, Humanisai dan macam macam lagi..Barat sendiri gagal memperbaiki kaumnya,  kita pula asyik menerima bulat bulat agenda mereka.

Pemimpin islam juga dikelirukan dengan Keadilan Islam dan Kesamaan Barat.  Pengikut mengikut membuta tuli kepada pemimpin mereka dan menganggap selain dari itu adalah salah dan batil.

Medan yang sepatutnya digunakan untuk mendampingi rakyat bukan lagi tempat untuk menyebarkan ilmu tetapi sebagai tempat untuk menaikkan sentimen benci kepada saudara seislam dan sebangsa. Sekali lagi mama nak tanya siapa rugi..?

Islam itu indah sifatnya,  tetapi keindahan itu tidak terlihat oleh mereka.  Kesannya telah kita lihat di seluruh dunia terutama negara negara islam...berjayakah mereka..?  malah semakin mundur dan semakin teruk kerana bencikan pemimpinnya sendiri.  Anasir luar pula menjalankan agenda tersembunyi mereka,  rakyat telah menerima kesannya dan kita masih tidak faham faham lagi...

Jika terjadi kepincangan di dalam kerajaan sekalipun...gunakanlah saluran dengan betul dan penuh kesabaran.  Bersyukurlah dengan keamanan dan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita.  Janganlah kita menghancurkannya.  Berpeganglah pada tali Allah, Insyaallah semuanya akan selamat. Hidup Melayu,  Hidup Islam.