Tuesday 11 October 2011

HIDANGAN ISTIMEWA NEGERI MELAKA


MELAKA NEGERI KELAHIRANKU


Assalamualaikum pembuka kata...

Hehehe...jangan marah haa...selain makanan, pemandangan kat bawah ni pun hidangan istimewa untuk santapan mata..mama hanya sempat copy gambar kat google jerr..tapi rumah kat bawah ni mengembalikan nostalgia di zaman 70 - 80 an, masa tu tak ramai lagi yang excited nak ubahsuai rumah,  memang beginilah suasana kampung kat Melaka. Ada dua versi tangga, kalau orang biasa biasa guna tangga kayu jer, kalau orang kaya sedikit,  tangga dia orang mesti batu, pastu mesti color color,  memang cantik.

rumah orang kampung yang sederhana

sentuhan sedikit mewah

Sape tahu kat mana ni..?

Haa...kat rumah merah di waktu malam,  berwarna warni.  Mama tak berani nak naik beca ni sebab kalau naik mesti kena sensorang sebab badan mama besar, muat muat sorang jer. Kesian pun ada kat Penarik Beca tu,  tak pasal pasal sakit tulang belakang ngan lenguh kaki.

Entah kemanalah perginya si Penarik Beca tadi..takut dengan Mama kot...

APA TU..?

Ha kalau nak tahu beginilah rupa belacan Melaka.  Memang jauh berbeza dengan belacan Penang kan.  Warna dia pink pink gitu. Bau dia apabila diibakar atau digoreng,  Subhanallah wangi..meleleh leleh air liur mama.  Teringat kecik kecik dulu suka tengok mak mama buat belacan sendiri,  Mak akan masak nasi..masa panas panas tu dia akan gaul ngan udang geragau segar dan garam. Pastu dia akan tumbuk lumat, ditepek tepek bulat bulat guna tangan, pastu jemor sampai kering....Wah time tu makan sambal belacan guna belacan segar, sedapnya bukan main,  makan pulak dengan nasi yang baru masak, tak payah lauk lain dah,  kadang kadang tak sempat nak isi dalam piring,  kaup terus dari lesung tumbuk tu..hehehe...buruk perangai masa kecik kecik dulu..ala biasalah budak kecik dari kampung, bila fikir balik haa..hotel hotel pun hidang sambal belacan dalam lesung batu.  Orang kampung jarang makan makanan beli, mana tidaknya nak makan ikan tangkap saja di lubuk lubuk atau pancing sahaja di sungai, nak makan sayur sekeliling rumah ada, pilih sahaja, mana ada makan lauk ayam hari hari macam sekarang. Kadang kadang sambal belacan pun dah cukup bagi kami anak kampung.



BELACAN MELAKA

Jangan tak tahu sambal belacan ni kita boleh ubah suai dengan macam macam perasa,  Antaranya kita boleh campur dengan mangga muda atau separuh masak, bacang masak, tomato, limau kasturi, nenas atau apa sahaja yang kita suka.  Baru baru ni ada sorang kawan Mama campur sambal belacan dengan epal,hijau,  coleklah sikit,  ermmm sedap juga.

Ha...tu dia sambal belacan dalam lesung batu.  Tapi Mama dah tak boleh makan dah. Agaknya dah terlampau banyak toksin dalam badan sebab terlampau banyak makan belacan masa dulu dulu.  Sekarang ni resdung la pulak,  tak nak asyik bersin bersin kenalah pantang....anak anak mama takda seorangpun yang pandai makan sambal belacan.  Suami pulak orang Negeri Sembilan,  ermm...tinggal terus menu ni.

SAMBAL BELACAN
Bahan

Cili merah    5 biji
Cili padi       2 biji
Belacan        2 inci persegi
Limau kasturi      2 biji

Cara
  1. Bakar atau goreng belacan tu dulu.
  2. Campurkan dengan cili cili tadi,  tumbuk sampai lumat
  3. Kalau suka manis sedikit, masukkan gula dalam 1/2 sudu kecil
  4. Perah limau kasturi,  kulitnya cincang halus masukkan sekali. Rasa masam masinnya, kalau kurang tambahlah apa yang patut ya
  5. Boleh ubah suai dengan mengunakan cili kering,  memang terangkat
  6. Boleh juga dicampur dengan tomato, nenas, mangga, bacang, kundang, belimbing buluh, epal

-------------------------------------------------------------------------------------------

PARTNER SAMBAL BELACAN


MASAK PINDANG 

Bahan

Ikan Kembong             3 ekor 
(boleh ganti dengan apa sahaja ikan yang kita suka)
Halia                            1 inci
Bawang Merah             5 biji
Bawang Putih               3 ulas
Kunyit hidup                 1 inci
Asam Jawa                  1 sudu kecil
Serai                            1 batang / daun kari sebatang
Bende                          5 biji
Cili merah belah            2 biji
Tomato                        1 biji
Halba                           1 sudu kecil

Cara
  1. Kisar bawang merah, bawang putih, halia, dan kunyit.
  2. Tumis halba, serai @ daun kari dahulu. Diikuti bahan kisar tadi. goreng sampai naik bau.
  3. Masukkan ikan dan kecutkan sekejap barulah dimasukkan air perahan asam jawa. Tunggu sebentar lepas itu masukkan air,  ikutlah banyak mana kuah kita mahukan. Sesuaikan rasa masin dan masamnya. Kalau masuk sedikit perasa lagi kaww maa...terpulanglah. 
  4. Bila kuah dah mengelegak  bolehlah masukkan bende, tomato yang dibelah 4 dan cili tadi.  Bila sayur dan kelihatan masak, tutup api dan makan panas panas..fuhh jangan lupa sambal belacannya.
Mama pandai masak lauk ni masa mama berumur 12 tahun.  Bangga sesangat,  kena puji pulak,  bertambah berkobar kobar Mama ke dapur tolong mak.
---------------------------------------------------------------------------------------------

IKAN ASAM REBUS 

Bahan

Ikan                            3 ekor
(kembong, selar, selar masin, tamban masin, mana manapun boleh)     
Cili kering bleandar     1 sudu besar (ikut suka..kalau nak pedas tambah lagi)
Bawang Merah           5 biji *
Bawang putih              3 ulas*
Kunyit hidup               1 inci*
Halia                          1 inci *
Asam jawa                 1 sudu besar 
Batang keladi             2 batang (celor dulu)
atau apa saja sayur yang kita suka

Cara
  1. Bleandar bawang dan bahan *.
  2. Masukkan ikan yang dah siap bersih ke dalam periuk.  Diikuti bahan kisar tadi.  Masukkan perahan asam jawa dan air yang mencukupi.  Masak hingga mengelegak,  masukkan garam dan perasa, jika suka.
  3. Last sekali masukkan keladi, tunggu sekejap dan tutup api.  Kalau suka boleh letak daun kesom untuk wangikan kuah.                                                               
Lauk asam rebus ni  memang senang memasaknya,  rebus jer semua bahan-bahan termasuk ikan,  pastu perah asam jawa,  kalau Mama campak jer asam keping..hehehe malas nak kotor tangan la tu..
-------------------------------------------------------------------------------------------

BETIK MASA BENING

Bahan

Betik tua                      1 biji
Bawang merah            3 biji
Ikan bilis                     segenggam
Daun Kunyit               sehelai
Serai                           sebatang

Cara
  1. Hiris betik,  ikutlah macam mana kita suka
  2. Hiris bawang merah.  Tumis bawang, serai dengan ikan bilis.
  3. Masukkan air,  tunggu hingga mengelegak,  masukkan betik tadi.
  4. Masuk garam.  Bila dah masak betik itu,  lembutlah isinya, barulah di letakkan daun kunyit yang disiat siat kasar.
Inilah seronoknya duduk kampung,  lauk ada keliling rumah, jadi betik muda, bayam pasir, pisang muda, pucuk manis, cekur atau bunga durian jeruk akan menjadi menu utama terutama bila kehabisan lauk basah.

------------------------------------------------------------------------------------------

Nah.. gulai pucuk manis masak lemak dengan keledek, tersangatlah kena dengan sambal belacan tadi. Ada pulak ikan masin..huh...sedap..

PUCUK MANIS MASAK LEMAK

Bahan

Pucuk Manis                    1 ikat
Keledek                            1 biji sederhana besar, rebus dahulu sampai empuk
Santan                              1 biji kelapa
Bawang Merah                 3 biji dihiris
Ikan Bilis                          segenggam

Cara
  1. Tumis bawang dan ikan bilis @ campur terus ke dalam santan.
  2. Bila tumisan dah wangi, masukkan santan, tunggu hingga mengelegak barulah dimasukkan sayur manis tadi bersama keledek.  Tunggu hingga sayur layu.  Pastikan rasa garamnya tau..
--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Haa gulai pisang ni memang sedap,  paling sedap jika digulai dengan ikan sembilang @ puyu sawah,  rasa ikan itu akan meresap ke dalam pisang...fuhh..terkenang kenang...tapi di sini hanya gulai pisang dengan ikan bilis jer...takpa la erk...pisang apa..?...pisang untuk gulai laa..payah payah cari jer kat pasar..semua ada.

PISANG LEMAK PEDAS

Bahan

Pisang muda             1 sisir  (sianglah macam mana kamu suka, pastu celor)
Cili api                     5 biji @ lebih jika suka pedas
Kunyit hidup             2 inci
Ikan bilis                   segenggam
Santan                      1 biji kelapa
Asam keping            1 keping

Cara
  1. Siapkan santannya,  masukkan ke dalam periuk.
  2. Kisar cili api bersama kunyit,  masukkan ke dalam periuk tadi diikuti dengan ikan bilis.
  3. Tunggu sampai mengelegak baru masuk pisang yang dah dicelor diikuti asam keping.
  4. Tunggu hingga kuah masak, rasa masam masinnya yaa..
---------------------------------------------------------------------------------------------

SIPUT...!  Haa...Mama paling geli masa nak potong hujung dia,  nak tahu kenapa...sebab siput hidup ni akan merayap rayap sekeliling Mama,  eeee....tapi buat jugak..mak mama kata, gaul dengan abu kayu,  jadi takda lagi geli sangat, lagi satu dia kurang laa nak berjalan..pening kot..mak mama kata lagi siput kena gulai dengan keladi supaya isi siput licin keluarnya semasa kita menyedut...entah betul tah tidak teori mak mama ni..sampai sekarang kalau nak masak siput mesti cari keladi,  sebab rasa macam tak cukup bahan la pulak..

SIPUT LEMAK PEDAS DENGAN KELADI

Bahan

Siput              1/2 kg
Cili Api           7 biji @ lebih
Kunyit hidup  2 inci
Santan            1 biji kelapa
Keladi            2 batang (celor dulu tau...haa jangan lupa siat kulitnya dulu)
Asam keping

Cara
  1. Mula mula siang siput dan bersihkan dulu.  Masuk dalam periuk
  2. Kisar bumbu macam biasa,  lebur jer dalam siput, diikuti dengan santan.
  3. Masak sampai mengelegak, letak asam dan garam.  Bila dah terbit minyak masuk keladi celor tadi.  Tunggu kuah mengelegak  pastu bolehlah tutup api.
-------------------------------------------------------------------------------------------

Itu satu lagi kebesaran orang Melaka..CENCALOK...diperbuat daripada geragau segar dengan air garam,  garenti tak berulat tauu...baunya tersangatlah kuat tetapi bila dah campur dengan hirisan bawang, cili, dan air didih nasi..jangan lupa perah asam limau ...errmmmm...alamak banyak dah air liur dalam mulut Mama ni...cop..cop..aku tak bleh makan...gatal.

CENCALOK

--------------------------------------------------------------------------------------------------

TARAAAA......Pari Masak Lada...fuhh lauk kesukaan mama yang paling teratas.  Hubby mama suka sangat makan Nasi Ayam kat Giant Senawang, Seremban...time dia berseronok dengan nasi ayam dia,  mama akan pergi kat satu kedai tu..dia ada jual lauk ni...sedapnya bukan main...pedasnya, masinnya, masamnya secukup rasa.."aa..dik kuah kasi lebih"  hehehe..dialog mama dengan budak kedai tu laa.  Mama jarang masak lauk ni sebab selalu terkena ikan pari berbau hancing,  potong stim betul.  Ada Mama terbaca artikel pari yang paling sedap ialah pari yang muka dia berbentuk seperti burung,  betul..memang macam burung,  selalunya peniaga akan potong potong sebab size dia besar sangat,  kadang kadang sepotong hampir 1kg beratnya. Mama pernah tengok sekali dekat pasar malam masjid tanah, melaka.  

PARI MASAK LADA

Bahan

Pari                    1/2 kg
Cili kisar            1 senduk (guna cili tak pedas)
Bawang Merah  5 biji kisar
Bawang putih    3 ulas kisar
Kunyit               1 inci kisar
Halia                 1 inci kisar
Buah keras        3 biji kisar
Asam jawa       1 sudu besar
Rempah campur  (dalam dia ada halba, biji sawi, jintan) 1 sudu kecil
Jintan Manis     1 sudu makan*
Jintan Pedas     1 sudu makan*
Lada hitam       1 sudu kecil*
Daun Kesom
Bunga Kantan
Serai sebatang

Cara
  1. Tumis rempah campur dahulu. Diikuti serai dititik, bahan kisar.  Goreng hingga wangi, masuk asam dan ikan, kecutkan sebentar. Bila daging pari dah kelihatan kecut, masukkan air,  tunggu hingga mengelegak.
  2. Barulah dimasukkan daun kesom dan bunga kantan.  Last sekali tabur bahan * yang telah dikisar halus.  Rasa masam masinnya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Orang Melaka tengah memang mati mati mengatakan lauk ni lauk Gerang Asam Daging,  tetapi mama panggil Kuah Lada Daging sebab mak mama memanggilnya begitu.  Ada juga yang memanggilnya asam pedas daging atau kari asam.  Apapun panggilannya,  rasanya tetap sama.  Paling sedap masak dengan daging tetel, rusuk lembu atau kerbau...nyum nyum nyum.  

GERANG ASAM ATAU KUAH LADA DAGING/TULANG RUSUK

Bahan

Daging              1/2 kg
Cili Kisar            1 senduk (guna cili tak pedas)
Kunyit                 1 inci kisar
Halia                   1 inci kisar
Bawang merah   5 biji kisar
Bawang putih     3 ulas kisar
Buah Keras        3 biji kisar
Serai                   1 batang
Daun Limau Purut 2 @ 3 helai
Asam jawa        1 sudu besar
Jintan Manis     1 sudu makan*
Jintan Pedas     1 sudu makan*
Lada hitam       1 sudu makan*

Cara
  1. Rebus daging @ tulang rusuk @ daging tetel sampai empuk, ketepikan.
  2. Tumis serai dan semua bahan kisar,  baru masuk daging bersama air rebusan tadi.  Perah asam jawa.
  3. Tunggu sehingga mengelegak,  masukkan bahan * yang telah dikisar halus. Pastikan rasa masin dan masamnya...jangan lupa letak daun limau purut last sekali tauu..wangi..
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bukan orang Melaka saja yang pandai masak lauk kat bawah ni,  di mana saja janji pandai makan tempoyak,  pandailah dia masak lauk ni.  Kalau orang Negeri Sembilan,  mereka lagi banyak pucuk kayu yang boleh dimasukkan ke dalam gulai ni.  Mama ikut resepi mak mama sajalah ya.  Mak mama selalu masak lauk ni semasa Hari Raya,  kira lauk wajib laa.  Bukan masak sikit sikit tau,  seperiuk besar.  Kadang kadang bawa ke seminggu,  hari hari dipanaskan,  makin dipanaskan makin sedap rasanya.  ooh..rindunya mama dengan arwah mak mama.

GULAI TEMPOYAK PUCUK UBI

Bahan

Pucuk ubi                   1 ikat
Pucuk labu                 1 ikat 
Serai                           3 batang
Daun Kunyit              3 helai
Daun Kaduk              5 helai
Petai                          1 ikat ambil isinya sahaja
(cari sahaja di pasar,  memang dah siap bundle bundle untuk sekali masak.)
Cili Padi                   segenggam kisar
Kunyit                       3 inci kisar
Ikan bilis                  segenggam
Tempoyak                1 senduk
Santan                     2 biji kelapa @ 1 pun boleh..

Cara
  1. Hiris halus semua daun daun kayu tadi.  Masuk dalam periuk, campurkan petai, tempoyak, ikan bilis dan bahan kisar,  diikuti santan.  Masak sampai pekat dan rasa masam masinnya yaa..
--------------------------------------------------------------------------------------------

Rendang Melaka selalu jumpa time raya jer.  Eloklah tu...high kolesterol...kalau selalu makan nanti dotot macam mama.
RENDANG MELAKA

Bahan

Daging               1 kg
Cili kisar            1 1/2 senduk
Bawang Merah  10 ulas
Bawang Putih    5 ulas
Halia                  2 inci
Kunyit                2 inci
Lengkuas           2 inci
Kerisik               1/4 kelapa
Santan               2 biji
Daun Kunyit      2 helai hiris halus

Cara
  1. Potong daging dan bersihkan letak dalam kuali.  Masukkan semua bahan kisar, kecuali kerisik dan daun kunyit. Masuk garam secukup rasa.
  2. Masuk santan, jerang atas api sehingga kering. Sebelum kering masukkan kerisik dan hirisan daun kunyit tadi.  Rasa masinnya yaa..

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kalau orang Negeri Sembilan bangga dengan Masak Lemak Cili Api mereka,  inilah Lauk Lemak Pedas kebanggaan orang Melaka.. Orang Melaka jarang mengunakan cili api,  selalunya pakai cili kering.  Kelainannya pula mesti campur bawang, halia, bawang putih, tumis sampai wangi, pastu masuk ikan, kecutkan sekejap, masuk santan dan akhir sekali bila kuah dah melegak masuk lah asam keping, sayuran yang kita suka, contohnya dengan terung, tomato, belimbing buluh, rebung atau apa saja yang teragak dalam kepala tu...

MASAK LEMAK PEDAS IKAN

-------------------------------------------------------------------------------------

Kenal tak apa bendanya ni....inilah bunga durian....jangan tak tahu bunga durian juga boleh digulai dan memang tersendiri rasa dia...kalau kelopak dia yang putih tu boleh digoreng begitu sahaja atau dimasak lemak putih.  Bunganya yang berlendir dihujungnya itu selalunya kami buang dulu lendirnya, celor dan jeruk dengan air garam.  Paling best mangkuk dia ada manisan yang sangat wangi...kalau baru jatuh berebut rebut dengan kawan kawan.

Terkenang masa kecil dulu, pukul 6 pagi dah meraba raba bawah pokok durian memungut bunga durian segar, takda laa dalam gelap, kami bawa pelita atau lampu picit.  Bukan apa kalau dah siang ayam akan pijak dan rosakkan bunga durian, tu la pasal kena pungut awal awal. Paling tak best sebab ramai sangat saingan,  ramai budak budak kampung pun pungut sama.



Ha, berminat ke nak mencuba masakan orang kampung mama ni...tapi kena tunggu musim bunga durian luruh la dulu,  dekat pasar memang takda jual, kena cari sendiri kat bawah pokok durian....ko ada..?

MASAK LEMAK PEDAS IKAN DENGAN BUNGA DURIAN
sorry..takda gambar..kat atas gambar ikan asam rebus dengan bunga durian

Bahan

Ikan                       3 ekor
Cili kering             1 senduk
Kunyit                   1 inci
Halia                    1 inci
Bawang  merah    5 biji
Bawang putih       5 biji
Asam keping         1 keping
Bunga durian        1 cawan   (yang dah siap jeruk)
Santan                  1 biji kelapa

Cara
  1. Tumis semua bahan kisar kecuali asam keping dan bunga durian.  Masuk ikan, kecutkan ikan sekejap, masuk santan dan asam.  Tunggu sampai pecah minyak barulah masuk bunga durian tadi.  Rasa masam masinnya.
  2. Atau masak lemak cili api style orang negeri sembilan,  lebur jer santan bersama asam, cili dan kunyit, masuk ikan,  tunggu sehingga pecah minyak baru masukkan bunga durian tadi. 

----------------------------------------------------------------------------------------------

Kangkung Goreng Belacan...nostalgia bersama Mak Teh mama,  sekarang dia dah nyanyok..mama pun dia dah tak kenal.  Dialah yang ajar mama masak kangkung ni,  selalunya mama petik sendiri kat tali air rumah mak teh,  gemok gemok dan segar segar. Pastu goreng atas dapur kayu....


KANGKUNG BELACAN
semua tahu memasaknya..tak payah tulis resepilahh...hehehe..

Okeylah..takat ini dahulu cerita Mama.  Panjang umur kita sambung lagi yaa...assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment