Saturday 17 September 2011

MISTERI..ARWAH BALIK RUMAH


setiap yang hidup pasti mati dan di sinilah tempat kita bersemadi.  Tiada peluang untuk kembali lagi hanya doa dari anak yang soleh, amalan takwa dan amal jariah semasa hidup menjadi penyelamat diri sementara menunggu pertemuan di alam akhirat yang kekal abadi.
Assalamualaikum.  Seramkan bila tengok kubur tetapi kita harus terima hakikat akan perjanjian kita dengan Allah.  Semoga matinya kita di dalam iman dan meninggalkan tiga perkara yang bermanafaat yang boleh membantu kita ketika berada di alam barzah.

Kali ini mama nak cerita dengan korang tentang pengalaman seorang kenalan mama yang berasal dari Johor.  Mama kenal dia semasa suami bekerja dengan sebuah konsortium di Kuala Lumpur semasa tahun 1995.  Biarlah mama namakan dia Ina.

Ina mengatakan keluarga sebelah ibunya terdiri dari ustaz dan imam.  Bapanya juga pernah menuntut bersama dengan Ustaz Harun Din.  Melalui bapanya dia merasa pengalaman melihat syaitan.  Bapanya telah mengajarkannya sepotong ayat dan matanya telus melihat makhluk khianat ini.  Apa yang ingin mama katakan keluarga Ina ini memang terdiri dari ahli agama belaka.

Ina ada berpesan dengan mama supaya jangan menonton television semasa waktu maghrib kerana waktu itu syaitan syaitan bermaharajalela masuk ke rumah kita untuk sama sama berseronok menonton television.  Semasa dia mengamalkan potongan ayat tersebut Ina telah melihat syaitan seperti toyol berjoget joget dekat lampu kalimantang di rumahnya.  Ketika itu dia sengaja membuka television di waktu maghrib untuk melihat kesahihan cerita bapanya.  Selepas melihat sendiri dengan mata kepalanya semenjak itu Ina tidak lagi menonton television di waktu maghrib.

Ina juga ada berkongsi cerita tentang keluarga sebelah ibunya.  Ina mengatakan hanya ibu dan seorang bapa saudara yang masih hidup,  yang lain telah meninggal dunia.  Apa yang misterinya arwah bapa saudaranya itu telah kembali selepas maghrib,  sedangkan telah dikebumikan pada siang harinya.  Makhluk itu benar benar menyerupai arwah dan mengetuk ngetuk pintu rumah.  Apabila dibuka pintu kelihatan arwah di hadapan pintu seolah olah kelaparan dan meminta diberikan makanan.  Makanannya mestilah nasi dan lauknya adalah sulur keladi.

Kejadian pelik ini telah terjadi beberapa kali sebelum ini dan terjadi kepada adik beradik lelaki sahaja.  Jadi ahli keluarga yang lain sangat memahami, jadi makanan itu telah disediakan awal awal lagi untuk persediaan waktu yang dinanti.  Setelah selesai makan makhluk yang seiras arwah mengatakan ingin pulang dan syaratnya anak lelaki sulung dari benihnya mesti menghantarnya pulang ke kubur.  Syarat yang lain mesti mendukungnya di atas bahu.  Melalui pengalaman abang abang sepupunya leher mereka akan dijilat oleh makhluk tersebut sehingga mereka sampai ke kubur dan makhluk itu akan ditinggalkan di tanah kubur yang masih baru itu.

Peristiwa itu akan terjadi beberapa hari dan akhirnya berhenti sendiri.  Ina sendiri tidak pasti apakah itu dan kurang memahami.  Mungkin juga kerana masih muda ibu atau keluarganya tidak menerangkan kisah sebenar di atas peristiwa ini.  Semasa itu Ina ada mengatakan hanya seorang sahaja bapa saudara sebelah ibunya yang masih hidup dan jika ada rezeki dia ingin melihat dengan mata kepalanya sendiri jika bapa saudara itu meninggal dunia.

Selepas itu kami terputus hubungan sebab syarikat itu telah ditutup dan Ina telah berkahwin dan balik ke Johor.  Jadi mama tidak tahu apa terjadi kepada bapa saudaranya yang masih hidup itu.....

Siapakah makhluk itu sedangkan Allah telah berkata yang setelah mati anak adam terputus semua hubungan dengan yang hidup...maksudnya tidak boleh berhubung dengan yang hidup...

Misteri tak..?








No comments:

Post a Comment