Saturday 24 September 2011

ANTARA SEDEKAH DAN BURUK SANGKA

"Assalamualaikum...derma"  kata ringkas keluar dari mulut seorang kanak kanak perempuan yang manis bertudung.  Kulitnya gelap dan mengikut kiraan mama bukan orang sini.  Ketika itu mama dan hubby berehat sebentar disebuah kedai makan setelah penat round satu pasar tani di Ampangan, Seremban.  Sambil menikmati minuman yang kami pesan tadi kami telah didatangi oleh seorang kanak kanak perempuan di dalam lingkungan 10 tahun.

Tanpa melemparkan senyuman anak itu menghulurkan sekeping kertas yang telah dilaminate.  Mama tidak menghiraukan kertas itu kerana memang telah biasa didekati anak anak yang meminta derma seperti yang ada di depan mama.  Pastinya isinya mengatakan mereka telah mendapat kelulusan dari sekian jabatan untuk memungut derma.

"Nak makan..?" tanya mama.  Anak itu mengelengkan kepala.
"Nak minum..?" tanya mama lagi.  Anak itu mengelengkan kepalanya buat kali kedua.  
"Nak buah..?" tanya mama lagi sambil menghulur segugus buah langsat kepadanya.  Anak itu masih jual mahal.  Hubby hanya tersenyum memerhati gelagat mama.  Anak itu masih menyua nyuakan kertas yang dibawanya kepada mama. Mama tanya lagi beberapa soalan tetapi tidak dijawab oleh anak itu....kelihatan seperti tidak faham apa yang mama katakan.

Geram betul mama,  rasanya kalau dia menerima pelawaan mama sudah tentu lembut hati mama nak bersedekah kepada anak itu.  Disebabkan sikap jual mahalnya itu mama telah berperasangka buruk kepada anak itu..sudah tentu apa yang ada dalam kotak fikiran mama,  anak itu adalah budak suruhan dari sendiket yang tidak bertanggungjawab.  Mempergunakan anak anak kecil terutama kanak kanak pelarian atau yang diseludup masuk ke Malaysia untuk meminta sedekah.

"Tak nak sudah.." jawab mama jauh hati sambil menyuruh anak itu pergi menguna bahasa isyarat.  Hubby mama ketika itu sedang leka berbual dengan seseorang di meja sebelah.  Anak itu pergi dengan wajah takut takut.  

Al kisahnya...mama menyesal dengan tindakan mama itu.  Sepatutnya mama beri jer seringgit dua,  tak kiralah dia kena upah ker, kita kena tipu ker..apa yang penting ikhlasnya kita untuk menderma...bila fikir fikir balik,  menyesal mama,  entah entah masa itu mama diuji akan sifat murah hati yang ada di dalam diri mama,  mama terlepas satu pahala, mama telah gagal satu ujian dari Allah...

Selepas kejadian itu mama diuji lagi dengan seorang insan entah siapa dan datang dari mana..
"Mama..ada orang minta sedekah kat pintu pagar..."  anak dara mama yang sulung memberitahu mama yang ketika itu sedang sibuk berkemas di dapur.  Tiba tiba mama teringat kanak kanak dari peristiwa di pasar tani.  

"Suruh dia tunggu sekejap" jawab mama sambil mencari plastik kecil dan membungkus biskut raya yang ketika itu masih banyak di dapur, sedikit buah, sebotol air dan sedikit wang.  Kesemuanya mama masukkan didalam satu bag kecil lalu dihulurkan kepada anak mama untuk dihulurkan kepada hamba Allah itu.

"Dah..tutup pintu cepat.  Entah siapa orang itu,  zaman sekarang bukan boleh percaya.." arah mama kepada anak dara mama.  Cepat cepat dia tutup pintu depan dan mengintai di celah tingkap.

"Mama...orang tu duduk dekat pangkin depan rumah Cik Ramlah,  dia tengah makan biskut dan minum air yang mama beri tadi.."  Baru mama perasan jam menunjukkan pukul 12 tengahari..kesian.. detik hati mama,  rupanya memang orang itu lapar dan kehausan...rasa macam nak hantar jer sepinggan nasi campur,  tetapi takut maklumlah ketika itu kawasan kejiranan sunyi tiada orang berkeliaran di luar.  Tapi tak mengapalah sekurang kurangnya mama dah memberi sesuatu jadi takdalah rasa bersalah sangat....janji dah sedekah dan hamba Allah itu tidak pulang dengan tangan kosong..






No comments:

Post a Comment