Monday 27 October 2014

KISAH BENAR SRIKANDI NURHIJRAH

Assalamualaikum wbkt..

Sempena menyambut Maal Hijrah 1436 yang lalu, seorang penulis dan juga wartawan sebuah akhbar perdana yang ingin dikenali sebagai Azrul Affandi Sobri telah menulis pengakuan dan pengalaman hidup seorang wanita yang telah menukar agamanya dari kristian kepada islam.  

Katanya, artikel tersebut tidak dapat diterbitkan kerana sangat berisiko dan bossnya takut akan menimbulkan kontroversi.  Tetapi disiarkan juga ke alam maya supaya kita dapat kongsi kisah suka duka wanita yang sangat beruntung kerana Allah swt merahmatinya dan dia sememangnya seorang srikandi yang gigih di dalam memperjuangkan akidahnya..

Nama islam beliau ialah Nurhini Muslim Abdullah atau lebih dikenali sebagai Srikandi Nurhijrah.  Kita boleh lawati halaman blognya yang bernama AKU, MUALLAF DAN HIJRAH.  

Mama copy paste biodata yang telah dikongsi di halaman blog beliau...

My Photo

Nama saya D'HELLEANDS atau NORHINI MUSLIM@KUNTRAK ABDULLAH aku berasal dari Negeri bawah bayu di lahirkan di Butition,di besar kan oleh semua keluarga.

Tandek Kota Marudu,sampai ke garuda,ke Damai Putatan lastly likas Jesselton..family besar tapi kebanyakan semua mengikut haluan masing-masing kerana berlainan agama ,agama kristian (roman catholic)..convert ..aku benar-benar mencintai agama islam dan sangat berbangga mendapat hidayah dari Allah swt mendapat hidayah ketika berjuang dalam memimpin agama kristian.

Aku ingin berkongsi sedikit pengalaman pendek aku ,sesudah aku benar-benar  memahami apa itu islam,tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.Jika aku ceritakan kisah dan pengalaman aku pasti akan menitiskan airmata,betapa indahnya agama ini,betapa mulianya menjadi seorang yang bergelar islam,keindahan itu hanya kita dapat melalui perasaan yang ikhlas.

Mengambarkan kehidupan sebagai seorang yang bergelar islam mencukupi segala-galanya subhanAllah..
Allah swt telah meletakan manusia di muka bumi ini supaya memberikan kita kehidupan yang kekal abadi,ketika aku memikirkan hal ini rupanya mataku dan mata hatiku buta selama ini.

Setiap kali teringat akan dia (Allah swt) pasti airmata mengalir,mengalir terkenangkan dosa-dosa yang pernah aku lakukan ketika sujud solatku yang terakhir ketika itulah aku pasti meraung dengan penuh rasa hina dan malu.Siapa sangka manusia seperti aku ini Allah swt  memilih untuk mengenalinya..mendekati semua yang Dia ciptakan segala-galanya mataku terbuka luas terbentang nun jauh seolah-olah ada cahaya yang datang melambai-lambai dan perasaan ku begitu nyaman,begitu juga kemuliaan Nabi Muhammad saw yang menjadi musuh kepada mereka dan aku satu masa dulu kini aku telah jatuh cinta pada kekasih Allah ini setelah aku mengkaji segala peninggalannya.Meremang bulu romaku tatkala membaca kisah tragis hidup kekasih Allah ini,dalam dirinya penuh kasih sayang,kemaafan dan segala-galanya,aku kini pasti akan menangis bila baginda kekasih Allah inidi hina,mereka tidak mengenali keperibadian Rasulullah,kemurnian hatinya,kemuliaan jiwanya,kesuciannya,keagungan cintanya kepada umat-umat-umatnya masyAllah..

Sesungguhnya pada hari ini aku ingin terus maju ke jalan hidayah yang telah Dia berikan kepadaku walau seberat manapun dugaan hidup,walau Dajjal datang membelah tubuhku aku tetap rela demi untuk agama Allah swt yang benar ini..tiada yang benar melainkan benar...inshAllah semoga aku terus tabah dan kuat untuk memerangi segala dugaan hidup yang semakin hari semakin mencabar keimananku Demi Allah aku tak gentar kerana Allah senantiasa bersama orang-orang yang benar amin..amin...amin Ya Allah....semoga aku dapat melahirkan ilmu untuk insan yang lain memahami keindahan islam ini dengan caraku sendiri...wAllahualam...

...........................................................................

Di bawah ini pula artikel yang telah dikongsi oleh penulis tersebut..


Rencana Maal Hijrah

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bh.com.my

“Ketika itu saya anggap Nabi Muhammad itu menggunakan wanita untuk kepentingan semata-mata. Berkahwin ramai juga adalah satu sikap yang menyerlahkan tanggapan buruk itu. Malah, itulah yang dijadikan antara hujah saya untuk menanam kebencian orang Islam terhadap baginda.”

Itulah cerita silam Norhini Muslim Abdullah @ Kuntrak, 34, yang pernah memurtadkan lebih 3,000 orang sepanjang terbabit sebagai penyampai khutbah Kristian sejak dilantik menjadi ketua gereja di Likas sebelum melebarkan ‘dakwahnya’ di Pasir Gudang, Johor.

Seawal usia 12 tahun, dia yang menggunakan nama Helen ketika itu sudah diangkat menjadi ketua gereja atas kemahirannya yang hebat dalam berhujah dengan menggunakan pendekatan kasih sayang untuk memurtadkan orang Islam.

Kehebatannya terserlah kerana pada usia semuda itu, dia sudah mengepalai 7,000 penganut Kristian di bawahnya. Malah, ketika menyambung pengajian di Pasir Gudang, kekuatan hujahnya bukan saja berjaya memurtadkan orang Islam yang bermasalah tetapi turut mampu memesongkan akidah orang yang kuat pegangan agamanya selama ini.

Menghafal keseluruhan Injil, kelebihannya tentunya dalam butir bicaranya yang mampu membuatkan sesiapa saja terpaku. Malah, sepanjang sesi temubual bersama wartawan BH, ia kedengaran begitu indah meskipun ketika menghuraikan mengenai fahamannya dalam Kristian, apatah lagi mengenai Islam.

Norhini juga seorang yang amat tegas dengan pegangan agamanya. Dia tidak pernah mengizinkan hujah mengenai Islam mempengaruhi mindanya, malah dia pula yang akan mampu mematahkan hujah mereka.

“Tuhan itu sayang pada semua orang dan memberikan kelebihan kepada sesiapa saja. Syurga dan neraka ada satu dan terpulanglah yang mana satu kita pilih. Jadi, kita masing-masing ada kehidupan sendiri. Apa yang anda faham mengenai kasih sayang?

“Jika orang itu lambat untuk huraikan mengenai kasih sayang, hujah saya akan mendiamkannya. Itulah kelebihan saya ketika itu yang berpegang kepada konsep kasih sayang. Itulah yang menggagalkan penyebaran Islam dalam kalangan orang Kristian. Kami dilatih memahami agama.

“Dengan pendekatan itulah saya berjaya memurtadkan 3,000 orang dalam masa setengah bulan saja di Johor Bharu. Caranya ialah dengan mendekati mereka yang bersendirian dan bertanya dengan penuh lembut. Buat mereka rasa kasih sayang yang kita mahu curahkan. Sentuh mereka.

“Orang yang sedang dalam masalah, apabila didekati dengan kasih sayang dan kejujuran, ia mampu buatkan mereka lemah. Sekeras manapun hati seseorang akan menjadi lembut dengan kasih sayang. Sentuhan dan pelukan kita mampu bukakan hati mereka dan inilah yang membuatkan mereka terima Kristian. Itu yang saya buat dulu,” katanya.

Apa yang dilihat memudahkan dia mempengaruhi ramai orang Islam kerana kebanyakannya hanya menjadi pengikut bukan pengamal Islam. Kelompok begini akan mudah dipengaruhi dengan konsep yang dibawa oleh Kristian.

Ketika ditanya mengenai Nabi Muhammad, Norhini berkata, orang Kristian memang meletakkan Rasulullah sebagai individu yang mempergunakan wanita. Kebenciannya terhadap manusia teragung itu amat menebal.

Namun, apabila dia bekerja sambil belajar di Pasir Gudang dan tinggal bersama seorang wanita Islam yang sekadar mahu dikenali sebagai Kak Ina, persepsinya mengenai Islam sedikit sebanyak berubah.

“Pelik...selama ini saya mampu murtadkan ribuan orang tetapi tidak pula dengan rakan sebilik saya sendiri. Apa yang saya sedar, Kak Ina begitu menghormati orang lain. Atas meja kami, di ruangnya ada al-Quran dan di ruang saya ada Injil. Selalu juga jika Injil saya berselerak, Kak Ina kemaskan.

“Selalu dia yang ingatkan saya mengenai jadual gereja saya. Pernah saya tanyakan kepadanya, kenapa, meskipun Kak Ina tidak secantik mana, tetapi jika memakai telekung, wajah Kak Ina nampak sangat bersih dan indah. Ia memukau dan mempesona,” katanya.

Hidayah itu milik Allah SWT. Satu hari, Norhini bermimpi melihat bagaimana seksanya nyawa ditarik dan dia sendiri mampu membaca surah Al-Fatihah. Dia melihat kalimah tauhid syahadah di atas gunung yang tinggi.

“Kedengaran suara orang meminta tolong dengan sangat kuat. Saya mencari-cari di sana sini dan apabila tiba di satu gunung, saya bertemu seorang tua. Saya bertanya, suara siapakah itu. Jawabnya, itulah suara saya jika saya kekal dengan agama sekarang dan tidak menukar akidah.

“Lama saya termenung dengan keadaannya. Hidup saya sejak itu diselubungi tanda tanya. Ketika berjalan di KOMTAR, Johor, saya membeli buku mengenai Nabi Muhammad SAW dan ada satu bahagian dalam buku itu yang benar-benar mengubah hati saya.

“Membaca bahagian itu, seperti saya sedang menonton satu skrin besar di depan, membayangkan keadaan ketika itu. Kisah di mana Rasulullah SAW melihat satu benda hitam yang sangat besar di depannya dan apabila ia dekat, baru Baginda tahu itu adalah umatnya.

“Melihat umatnya dalam keadaan begitu, menangis Rasulullah SAW dengan penuh hiba sambil mengibarkan tangannya menyebut: ‘Umatku, umatku, umatku’. Saya menangis membaca bahagian itu membayangkan betapa sayang, rindu, kecintaan dan semuanya yang ada pada Rasulullah SAW.

“Ketika itu saya peluk buku itu dengan erat dan saya tidak tahu apa yang saya sedang rasa. Saya jadi begitu cintakan Nabi Muhammad SAW dan mahu lebih mengenali Baginda. Rasa kekesalan menyelubungi dan betapa kerdilnya diri ini dirasakan,” ceritanya terhenti-henti kerana menahan sebak dan tangisan yang semakin pantas menderu.

Atas sebab itulah dia nekad memeluk Islam. Keputusannya nyata mengejutkan ramai orang terutama rakan-rakannya yang tahu siapa dia selama ini.

Nyata, ujian untuk menjadikan seseorang itu beriman bukan mudah. Selepas memeluk Islam, dia dibawa kembali ke kampung halamannya (dirahsiakan) untuk dimurtadkan dengan diselangi pelbagai ujian hebat ketika ditahan dalam bilik pengampunan dosa.

“Saya tak rasa apa-apa. Sekadar pasrah dengan apa yang mereka buat. Beberapa paderi yang hebat-hebat dibawa untuk kononnya memulihkan saya. Air suci dari Perancis turut digunakan tapi saya tetap dengan Islam.

“Allah Maha Berkuasa. Seorang tukang sapu dalam gereja itu sendiri yang membantu untuk melepaskan saya. Dengan bantuan polis saya diterbangkan ke Johor semula. Nyata, ia bukan penamat segala-galanya apabila saya terpaksa melarikan diri dengan menuruni tingkat enam bangunan melalui batang paip untuk selamatkan diri daripada buruan.

“Dalam proses melarikan diri, saya hampir dirogol dalam keadaan seluar yang koyak rabak, berdarah di sana sini. Namun, Allah SWT melindungi saya sehingga saya berjaya kembali ke Jabatan Agama Islam dan dikahwinkan untuk membolehkan hak penjagaan itu beralih kepada suami,” katanya lagi yang ketika itu baru berusia 18 tahun.

Mengenai tindakan keluarganya selepas mengetahui yang dia sudah memeluk Islam, Norhini tidak selesa untuk kisah itu disiarkan kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia dan dia sendiri dalam proses untuk memulihkan hubungan dengan keluarganya yang lain.

Dengan wajah yang tenang selepas lama menangis, dia berkata, untuk memahami Islam, dia sanggup belajar mengaji dengan kanak-kanak berusia 10 tahun.

“Belajarlah untuk jujur. Sampaikan sesuatu itu biarlah dari hati dan jangan bertopengkan apa-apa. Sampaikan dengan kasih sayang kerana dengan itulah mereka mampu mengubah. Jangan bosan mengucapkan terima kasih dan menghargai orang lain,” nasihat terakhirnya menamatkan sesi temubual.


Nurhini Muslim Abdullah



1 comment: