Tuesday, 22 January 2013

KISAH KELAHIRAN NABI IBRAHIM A.S.

Assalamualaikum wbkt..

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad  s.a.w dan seluruh ahli keluarga dan sahabatnya sekalian..begitu juga ke atas Nabi Ibrahim a.s., seiring dan tidak mungkin ditinggalkan selawat ke atas mereka setiap kali dibaca ketika duduk tahiyat akhir solat..

Kita dah sering mendengar akan kisah kelahiran Rasulullah saw,  Insya Allah sentiasa di ingatan.  Tetapi tentu kita alpa dengan sejarah kelahiran Nabi Ibrahim a.s.  Kita hanya tahu kisah beliau sejak kecil yang sering mempersoalkan akan tuhan bapanya, tetapi bagaimana kelahirannya di muka bumi ini tidak didapati dari mana mana hadis..wallahualam..jika ada harap dapat syer kat sini..

Mama dapat tahu pun bila menonton Klip ceramah dari Ustaz Nazmi Karim..


Ringkasnya,  Kisah ini didapati dari Tafsir Kitab Bani Israel.  Diceritakan di dalam kitab tersebut ketika zaman pemerintahan Raja Namrud di kerajaan Babylon.  Beliau telah mendapat satu mimpi mengatakan akan lahir seorang lelaki di kalangan rakyatnya yang akan memusnahkan dirinya.  Akibat terlalu taksub dan percaya dengan mimpinya beliau telah memerintahkan kesemua kaum lelaki yang berada di bawah pemerintahannya ketika itu supaya keluar dari bandar dan mengikutnya ke satu tempat yang sangat jauh dari bandar tersebut.  Para isteri dan wanita telah di tinggalkan di bandar kecuali isteri Namrud sendiri.  Niatnya adalah supaya dapat mengelakkan dari terjadinya perhubungan suami isteri antara rakyatnya, jadi tiadalah kaum wanita ketika itu yang akan mengandung.

Sebijak mana sekalipun perancangan manusia,  Allah swt lagi Maha Bijaksana.  Pada satu hari tiba tiba Raja Namrud teringin akan satu makanan yang hanya berada di bandar.  Lalu beliau telah memerintahkan seorang lelaki yang sangat dipercayainya untuk pergi ke bandar dan berpesan jangan sekali kali pergi bertemu isterinya.  Akur dengan perintah Raja Namrud,  berangkatlah lelaki tersebut ke bandar.  Ketika sampai di bandar tersebut,  lelaki itu teringat akan isterinya dan rindu yang membuak buak menyebabkan dia lupa akan pesan Raja Namrud.  

Lalu bertemulah dia dengan isterinya dan terjadilah perhubungan suami isteri.  Setelah melepaskan rindu, lelaki tersebut meneruskan pencariannya mencari makanan idaman Raja Namrud.  Setelah mendapat apa yang di cari,  kembalilah dia kepada Raja Namrud. Raja Namrud bertanya adakah dia bertemu dengan isterinya,  sudah pastilah dia tidak mengakuinya kerana takut dihukum oleh Raja Namrud. 

Selang beberapa bulan kemudian, isteri kepada orang kepercayaan Raja Namrud tadi telah mengandung. Manakala Raja Namrud yang masih berwaspada telah memerintahkan kepada pegawainya supaya memeriksa dari rumah ke rumah untuk mencari wanita yang sedang mengandung, dan ditunggu kelahirannya, seandainya anak itu lelaki,  bayi itu akan dibunuh.

Untuk mengelakkan diri dari di tangkap, isteri malang tadi telah melarikan diri ke dalam hutan.  Kandungannya ketika itu baru lima bulan dan mungkin kerana ketakutan dan takdir yang Maha Esa,  lahirnya seorang bayi lelaki darinya.  Lalu diberinya nama Ibrahim.  Setelah melahirkan anak itu,  ibu yang ketakutan tadi telah meninggalkan anaknya di dalam hutan keseorangan dan bertawakal supaya anaknya selamat.

Nabi Ibrahim a.s telah dipelihara oleh Allah swt tanpa gangguan dari sebarang bahaya.  Baginda telah dikurniakan mukjizat jari jarinya terpancar air susu, madu dan air biasa.  Baginda hanya menghisap jarinya untuk menghilangkan lapar dan dahaga.  Baginda membesar dengan cepat sebagai seorang kanak kanak.  

Setelah beberapa bulan, ibu tadi terkenangkan anak yang ditinggalkan.  Lalu mencari di dalam hutan di mana dia tinggalkan bayi tersebut.  Ketika pertemuan itu  hanya tiga soalan yang keluar dari mulut baginda..pertama : Ibu..siapakah tuhan kita..ibu..? Tuhan kita adalah ayah kamu, jawab ibunya. keduanya : Jadi..siapakah tuhan kepada ayahku..? Raja Namrudlah tuhan ayahmu, jawab ibunya dengan yakin. ketiganya : Siapa pula tuhan kepada Raja Namrud itu..? dan ibunya terkedu tidak dapat menjawab akan soalan dari anak kecil itu.. 

Ibu kepada Nabi Ibrahim a.s pergi menemui suaminya dan mengkhabarkan akan anak mereka yang berada di dalam hutan.  Suaminya sangat terkejut kerana tidak tahu isterinya telah hamil dan sudah melahirkan tanpa pengetahuannya. Teruja dengan khabar gembira tersebut, si bapa mengajak isterinya pergi mendapatkan anaknya di dalam hutan.  Ketika pertemuan itu, sekali lagi Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada ibubapanya dengan tiga persoalan..

Pertama : Ayah..siapakah tuhan ibu..? Tuhan ibu kamu adalah ayah, jawab ayahnya dengan yakin.

Kedua : Siapa pula tuhan ayah..? Tuhan ayah ialah Raja Namrud, sekali lagi dijawab dengan yakin oleh ayahnya

Ketiga : Jadi siapakah tuhan kepada Namrud itu..? ayahnya terkedu dengan soalan yang tidak disangka sangka lahir dari mulut anak kecil di hadapannya itu..

Bapa Nabi Ibrahim sangat bimbang akan keselamatan anaknya.  Seandainya Raja Namrud tahu sudah pasti anak itu akan dibunuh oleh Raja zalim itu.

Sudah pastinya baginda sentiasa di dalam peliharaan Allah swt. Apabila baginda meningkat dewasa dan mengerti apa yang dicarinya selama ini, baginda telah dilantik sebagai Nabi dan Rasul dan dari susur galurnyalah lahirnya Nabi Ismail a.s. dan darah mereka terus mengalir ke tubuh Nabi tercinta kita Nabi Muhammad saw. dan keturunan baginda saw.









No comments:

Post a Comment