Tuesday, 11 October 2011

MARAH JANGAN TAK MARAH




MARAH

"Ooo rupanya kaulah curi ikan aku tu ya...nah ambik sebijik..menyampah betul aku tengok kau.."
"Adoi...apa ni..kurang asam...grrrr...."


Ermmm...siapa yang tak pernah marah kat dunia ni yaa..? Selagi namanya makhluk yang bernyawa perasaan ini sentiasa ada menemani kita di sepanjang hidup kita. Bezanya bagaimana kita menanganinya.  Kalau binatang kita akan melihat mereka sanggup berbunuhan tanpa mengira salah atau benar.  Tentulah kita faham kerana binatang tiada akal seperti kita.

Rasa marah ibarat api di dalam sekam yang boleh memudaratkan diri sendiri. Perasaan ini akan memberi kesan di dalam perhubungan kita sesama manusia, secara tidak langsung membibitkan permusuhan yang berpanjangan.

Imam Ghazali ada berkata " Marah adalah cebisan api neraka yang menyala.  Kepanasannya naik ke sudut hati dan menjadi bara"  lihat betapa bahayanya perasaan marah itu sendiri. Dinyatakan juga syaitan telah menguasai manusia dalam keadaan marah.

Menurut kajian yang telah dibuat oleh para doktor di luar negeri,  perasaan marah menyebabkan badan kita menghasilkan hormon tekanan perasaan.  Perasaan tersebut akan lahir pada wajah yang keruh, kata kata negatif dan melemahkan motivasi diri.  Kesannya kita akan hilang fokus dalam setiap apa yang kita lakukan.

Selain daripada itu lebih banyak kita marah, kemampuan jantung untuk mengepam darah berkurangan sebanyak 7 peratus. Lebih tepat lagi cepat mati. Mungkin benarlah kata kata orang tua "jangan cepat marah nanti cepat tua".

Pertahanan badan dari penyakit juga akan lemah sehingga mudah dihingapi penyakit.


HADIAHKANLAH KEMAAFAN

"Awat kamu berdua ni...tak baik gaduh lama lama..nanti Allah marah"
"Suruh dia minta maaf dulu"
"Ahh..takda takda..kau kena minta maaf dulu dari aku"
"Ish..keras kepala betul laa"

Memohon maaf bukanlah satu perkara mudah.  Kerana ia melibatkan ego, tidak mahu mengalah atau merasa kalah atau dicop bersalah jika meminta maaf dahulu.  Namun begitu memberikan kemaafan adalah lebih sukar apabila hati telah terluka. Namun kata kata Allah adalah penyejuk jika kita mahu merenung dan mengambilnya sebagai panduan hidup.

Firman Allah " sesungguhnya memberikan maaf itu adalah lebih dekat kepada takwa" (Al Baqarah 237)

Kita boleh memberi maaf tetapi kita tidak boleh memaksa orang memaafkan kita.  Memberi maaf  bermakna membebaskan seseorang itu dari hukuman atas kesalahan melanggar "peraturan" kita.  Memaafkan bermaksud juga membebaskan diri kita dari kemarahan dan dendam terhadap orang tersebut.  

Memberikan kemaafan kepada orang yang meminta maaf adalah satu perkara yang mulia.  Sedangkan Allah yang Maha Berkuasa sudi mengampunkan kita hambanya yang terlampau banyak melanggar larangan Allah. Siapalah kita terlampau berkira kira untuk tidak memaafkan orang lain.

Salah satu cara yang bagus untuk kita memaafkan orang ialah ketika kita hendak tidur diwaktu malam.  Semasa itu tidur akan menjadi lebih rehat jika kita tidak membawa perasaan negatif.  Maafkanlah orang yang kita rasa telah menyakiti kita. Kita tidak perlu beri tahu "hi si polan..aku telah memaafkan kau",  memadailah hanya kita katakan pada diri kita sendiri.

"Aku telah memaafkan si polan walaupun dia telah membuat aku marah. Ya Allah berikanlah aku kekuatan untuk memaafkannya dan ampunilah dosa kami agar kami selamat dunia dan akhirat.  Allah Maha Pengampun, Nabi juga memaafkan umatnya, maka aku jua ingin memaafkan.  Aku juga sering melakukan kesilapan, semoga dengan kemaafan ini kesilapan ku sebagai hamba yang lemah juga akan mudah dimaafkan."

 Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.


SALING BERMAAFAN AKAN MELEBARKAN RUANG UNTUK KASIH SAYANG

Apabila tiada perasaan marah dan dendam,  hati menjadi lebih ceria.  Akan banyak tenaga tenaga positif lahir dari diri kita.  Hati yang penuh kasih sayang dan keikhlasan tergambar pada wajah yang ceria. Penampilan begini melahirkan peribadi yang disenangi oleh keluarga, saudara, jiran dan rakan taulan.  Hanya hati yang penuh kasih sayang dan keikhlasan dapat menyayangi orang lain.

Apa saja yang kita berikan kepada orang lain akan melantun balik kepada diri kita.  Semakin banyak kasih sayang dan kemaafan kita berikan, orang lain pula akan lebih mudah memaafkan kesilapan kita.


No comments:

Post a Comment