Thursday 31 May 2012

SUSHI STYLE NOGORI 9

Assalamualaikum wbkt..

Pejam celik dah sampai Jun 2012..cepat betul waktu berlalu..Alhamdulillah kerana Allah swt masih memberi kesempatan kepada mama untuk berusaha menjadi lebih baik dari semalam..semoga yang Maha Esa tetap membimbing dan melindungi diri ini..

Cukup bulan..aktiviti penting.."SHOPPING"..hehehe.  Terimakasih hubby ku sayang sebab sabar melayan karenah, kejap nak pi sana..kejap nak pi sini..pastu nak pi sinu..i love you..

Pergi Tesco..terpandang Seaweed..ermm..nak buat sushi la pulak..ok..tengok tanda halal..lulus,  boleh beli.  Inti apa erk..? Fillament Ketam, lobak merah, telor..aahh boleh laa tu..pertama kali buat tak boleh nak experiment sangat..

Pagi pagi buta dah masak nasi,  gaul ngan cuka.  Mama goreng Fillament tu sekejap..kekonon nak kasi masak.  Potong lobak merah memanjang, lepas tu goreng telor dadar..

sushi mat

seaweed wrap..

letak seaweed atas mat,  letak nasi dan filling kegemaran..gulung

potong kecik kecik..makan dengan wasabi dan kuah kicap

Sebenarnya kena letak timun atau zuchini,  lupa nak beli.  Wasabi juga lupa nak beli tapi nak buat juga..

Mama buat kuah kicap campur dengan cili padi.. "biar podeh mengaha".. cili padi tu dihiris halus..cicah dan ngupp..sedap juga..macam sushi kat tesco jer rasa dia..hehehe

Opss..nasi dia mama guna beras biasa jerr..



Tuesday 29 May 2012

BABY KUCING KU DAH SEHAT

Assalamualaikum wbkt..

Alhamdulillah..baby kucing yang muntah cacing ari tu dah sehat sepenuhnya.  Sebenarnya mama hanya beri minum perahan air bawang putih sekali jerr..kesian tengok dia terhoyong hayang..macam pening jerr..

Akhirnya dapat idea..tumbuk halus bawang putih gaul dalam nasi dan ikan.  Beri mak dia makan,  tentulah bila dah masuk dalam perut mak dia, susu mak dia dah "tercemar" dengan bawang putih..jadi bila anak dia menyusu..automatik unsur bawang putih tu masuk dalam perut baby kucing tadi..pandai tak mama..?

Selepas tiga hari..baby kucing tadi ceria kembali..dah tak muntah cacing..jadi takda laa bawa pi klinik..sebab dah sehat..




Monday 28 May 2012

TAHLIL KAT MAKAM TUAN TULIS

Assalamualaikum wbkt..

Hari ini mama nak cerita pasal pengalaman hubby mama pergi bertahlil di makam Tuan Tulis.  Dia bukan pergi sorang sorang..tapi seramai 10 orang, diantaranya Imam surau kg, Ajk surau kg dan adik lelaki hubby..

Ketika sampai di makam tersebut jam menunjukkan jam 10 malam atau lebih..makam tersebut telah ditutup dari lawatan pada pukul 9 malam...jadi nak masuk ke dalam makam mereka kena minta kunci kepada penjaga makam yang duduk berhampiran makam tersebut..

Hubby kata kat dalam bangunan makam itu telah disediakan karpet, sejadah dan kipas untuk diguna oleh pengunjung. Setelah mengambil tempat duduk masing masing, lalu Imam memulakan majlis tahlil.

Tahlil telah dibuat sebanyak 2,000 kali dan hubby kata rasa macam sekejap sangat ketika bertahlil sebanyak itu,  sedangkan 1,000 kali dilakukan di surau terasa macam 1 jam lamanya.  

Pada malam itu beberapa kejadian pelik telah terjadi,  antaranya hubby dan rakan rakan yang lain terasa akan kehadiran ramai makhluk mengikut mereka berzikir..bergema gema..tetapi bila ditoleh hanya mereka sahaja yang ada..

Selain imam merasa akan kehadiran orang di sebelahnya,  salah seorang sahabat terpana melihat tongkat milik imam berdiri tegak dan berputar putar dengan sendirinya...ketika itu imam tidak melihat kerana asyik berzikir..

Sebelum pergi,  Imam tu ada pesan jika terjadi apa apa yang pelik..jangan takut tetapi berdoalah dengan Allah swt dengan penuh harapan akan apa yang ingin kita hajatkan..InsyaAllah doa itu makbul..wallahualam..

Haa...

Korang kenal tak Tuan Tulis ni..mari mengenali dia...


   

Gambar gambar sekitar makam


Di Negeri Sembilan beliau dikenali sebagai tokoh agama, Ismail Hussein atau lebih dikenali sebagai Tuan Tulis dianggap antara wali Allah yang cukup terkenal khasnya di Kg Talang, Kuala Pilah.

Tuan Tulis juga dikenali sebagai kerabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kerana pernah mengubati Yang Dipertuan Besar pertama di London pada 1925, sedangkan ketika itu beliau sebenarnya sudah meninggal dunia.

Dilahirkan di kalangan keluarga miskin, beliau dikatakan sangat tekun mendalami ilmu agama walaupun dalam kesukaran. Sanggup berjalan kaki merantau hingga ke Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang untuk berguru terutama dengan Tok Ayah Man (Tuan Guru Haji Abd Rahman).

Ketika berguru dengan Tok Ayah Man, Tuan Tulis tidak mampu membeli kitab disebabkan miskin, tetapi rajin dengan berusaha menyalin semua kitab yang dipelajari serta isu kuliah gurunya. Setiap malam beliau akan menyalin kitab yang akan dipelajari pada keesokan hari dengan meminjam buku daripada rakannya.

Tabiatnya yang rajin dan tekun menulis menyebabkan beliau digelar ‘Ismail Tulis’. Apabila tamat pengajian, orang kampung menghormatinya dengan panggilan ‘Tuan Tulis’. Usaha menulis itu dilakukan berterusan sehingga kitab yang diajar gurunya siap disalin dengan tulisan tangannya sendiri.

Al Quran tulisan tangan beliau

Banyak kitab yang disalin, antaranya Tafsir Jalalain dan 30 juzuk al-Quran yang dilakukannya ketika masa lapang. Semua kitab dan ayat al-Quran itu disalin menggunakan dakwat dibuat sendiri hasil campuran arang para dan getah limau kasturi manakala penanya dibuat daripada bilah segar kabung

"....selepas ditanya ke mana beliau menghilang, dengan selamba Tuan Tulis mengatakan dia membantu memadam kebakaran di Makkah."Pengkaji tokoh wali Tanah Melayu, Abdul Ghani Said dalam kajiannya menjelaskan, Tuan Tulis pernah membantu memadam kebakaran di Makkah pada 1900. Kejadian itu berlaku ketika tukang cukur masuk ke dalam rumah mengasah pisau dan terperanjat mendapati Tuan Tulis tiada di kerusinya.

Tidak lama selepas itu, beliau muncul kembali dan selepas ditanya ke mana beliau menghilang, dengan selamba Tuan Tulis mengatakan dia membantu memadam kebakaran di Makkah.

“Tuan Tulis kembali ke rahmatullah pada 1922, tetapi pada 1925, berlaku peristiwa benar di mana beliau dikatakan mengubat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku Antah di London.

“Hubungan mereka rapat kerana Tuan Tulis tinggal berdekatan dengan istana Sri Menanti di Kuala Pilah. Dalam pertemuan itu, Tuan Tulis meminta segelas air lalu dijampinya dan disapu ke tempat sakit manakala baki air itu diminum Tuanku Muhammad. Selepas itu, baginda beransur sembuh dan kemudian masuk ke dalam bilik untuk mengambil sesuatu.

“Apabila keluar, baginda menyedari Tuan Tulis sudah ghaib. Selepas itu barulah baginda sedar sebenarnya wali Allah itu sudah meninggal dunia tiga tahun sebelum kejadian itu. Beliau cuma hadir secara kerohanian,” katanya.

Antara peristiwa lain yang menunjukkan karamah Tuan Tulis yang pernah diceritakan secara lisan ialah pernah berlaku ketika beliau bersama anak muridnya mengerjakan bendang, mereka disajikan buah tamar segar seolah-olah baru dipetik, sedangkan kawasan itu memang tiada pokok tamar.

Tuan Tulis juga menternak kerbau, anehnya, binatang peliharaannya tidak pernah memakan padi penduduk, tidak seperti kerbau orang lain. Katanya, beliau pernah berpesan kepada kerbaunya ‘kamu makan rumput saja, jangan makan padi orang’.

" Kehalusan budinya bukan saja kepada manusia tetapi kepada binatang. Suatu hari..... "Disebabkan itu, penduduk di situ memang mengenali kerbau Tuan Tulis dan memang tidak akan memakan padi mereka. Kerbau itu dibiarkan merayau tanpa ditambat dan orang kampung tidak akan menghalau kerbau Tuan Tulis jika masuk ke bendang mereka.

Kehalusan budinya bukan saja kepada manusia tetapi kepada binatang. Suatu hari ketika dalam perjalanan, beliau terserempak dengan sekumpulan semut yang tidak dapat meneruskan perjalanan kerana dihalang lopak air. Beliau berhenti dan membuat jambatan kecil sehingga semua semua itu melepasi lopak air.

Beliau juga tidak sanggup melihat binatang diseksa dikurung dan pernah membeli burung dalam sangkar lalu membebaskannya.

Tuan Tulis sendiri memelihara beratus ekor burung merpati tetapi dilepas bebas, diberi makan, minum dan disediakan rumah burung untuk berteduh dan bertelur. Selepas kematiannya, beratus merpati peliharaannya terbang mengiringi jenazah dan melindungi jenazahnya daripada pancaran matahari terik.

Sebaik saja upacara pengebumian selesai, semua burung itu menghilang dan tidak pulang ke sarangnya.

Ada pula kata jenazah beliau ghaib tiba tiba di liang lahad..




Rujukan: Lembaga Muzium Negeri Sembilan.



INFO: Ismail Hussein

* Suka bergaul dengan orang jahil dan mendampingi mereka dengan tujuan berdakwah.

* Sentiasa menjadi tempat rujuk masyarakat dan menyelesaikan permasalahan penduduk.

* Mendirikan masjid di Kampung Kuala Talang secara gotong royong selama dua tahun dan siap pada 1922.

* Gemar memaki kain pelikat atau seluar jerut, berbaju Melayu atau baju labuh, sentiasa berkopiah.

* Meninggal dunia ketika sedang bertafakur selepas sembahyang Subuh kira-kira jam 7.30 pagi.

* Tidak meninggal zuriat dan harta tetapi mempunyai anak murid yang ramai.


[Sumber dari berita harian tulisan Md Azis Ngah]




















Sunday 27 May 2012

PENGISIAN ROHANI STYLE GOMEN

Bila pihak media terlampau pandai berbicara ala ala..islamic..macam ni laa ayat yang akan keluar..

bawa mesej "pengisian rohani"..?????
kenyang rohani terutama rohani belia lelaki


Mana fatwa Mufti tercinta agaknya..? Agak agaknya tak tanya tak jawab lerr..camtu ke tugas Mufti..?

     
Dan apabila "pengisian rohani" yang sebenar benar..awat jadi lagu ni..?

"pengisian rohani" yang sebenar benarnya..tapi..?




Wednesday 23 May 2012

LAGI MENINGGAL HIDUP SEMULA


Mati hidup semula
Malek bawa amaran dari liang lahad
Oleh
Sahidan Jaafar
 
 
TANGAN saya kiam. Tubuh saya kaku dan mulut saya bisu. Saya cuba gerakkan anak-anak jari tetapi langsung tidak boleh menguit. Tubuh pula dibungkus kain kapan dan saya sedang terbaring dalam liang lahad. Beberapa biji tanah kepal diletak di bawah kepala.
 
Kubur yang saya diami itu terasa amat sempit dan tidak selesa. Hanya anak mata saya saja boleh bergerak-gerak ke kiri dan kanan serta menjeling ke hujung kaki, manakala badan kaku bagai diikat dan dihimpit sesuatu.
 
Saya ternampak tali yang mengikat kain kapan di hujung kaki sudah terurai. Saya cuba meronta-ronta, tidak berjaya.
 
Hati saya merintih sambil berkata: " Ya Allah, Engkau cabut nyawaku ketika aku masih muda dan tak sempat bertaubat! Kenapa ya Allaaah!!!??"
 
Saya cuba menjerit, suara saya tidak terkeluar. Entah berapa kali saya merintih dan mengadu dengan Allah. Saya menyesal kerana banyak melakukan dosa semasa di dunia. Paling saya kesal dosa saya memukul dua orang guru yang pernah mendidik saya.
 
Saya pernah tampar seorang guru hanya kerana mereka berkasar dengan saya. Begitu juga saya pernah pukul seorang lagi guru di sebuah sekolah berasingan atas alasan yang sama. Perbuatan itu amat saya kesali.
 
Kalau boleh hidup kembali ke dunia, saya ingin bertaubat dan memohon ampun kepada dua orang guru tersebut. Saya benar-benar berasa berdosa.
 
Tidak sedar saya menangis teresak-esak mengenangkan perbuatan lampau saya. Segala perbuatan saya itu berpunca daripada kebodohan saya menuntut ilmu sesat dengan seorang tok guru. Ilmu yang saya miliki itu menyebabkan saya jadi angkuh. Konon sayalah yang paling kuat.
 
"Ya Allah aku berdosa! Aku berdosaaaaaa!!!"
 
Sedang saya menangis mengenangkan dosa-dosa lampau itu tiba-tiba saya terdengar suatu suara yang sangat dahsyat, Suara itu lebih menggerunkan daripada segala jenis suara yang pernah saya dengar, termasuk suara hulubalang yang muncul ketika saya berguru. Suara yang satu ini lebih kuat daripada halilintar. Suara gempita ini belum pernah terdengar semasa berada di dunia.
 
"MAAAARAAABBBBBBBBB..."
 
Sepotong ayat yang tidak sempat dihabiskan itu menerjah ke telinga dan seiring itu saya menjerit dan merayu-rayu kepada Allah! Kata saya, "Ya Allah... ampunkan dosaku ya Allah! Aku bertaubat dengan sebenar-benarnya taubat nasuha!"
 
Gema suara itu terus bergaungan. Memang hebat, tiada tolok bandingnya dengan apa jua jenis suara makhluk yang ada di muka bumi. Seluruh tulang-belulang di tubuh saya terasa renggang sejurus mendengar tempikan suara tersebut. Badan saya terasa hendak berkecai.
 
Sendi-sendi saya bagaikan hendak tercabut dari daging. Saya berasa teramat takut dan ngeri. Saya dapat merasakan tentu sekejap lagi saya akan disoal malaikat Munkar dan Nakir yang bertanggung jawab menyoal mayat di alam kubur.
 
Apa jawapan yang hendak saya beri? Apa amalan yang saya ada? Saya pernah belajar ilmu sesat. Dosa itu dosa besar! Dosa saya dengan manusia banyak. Saya pernah tampar dua orang guru.
 
 
"Ya Allah aku mengaku belajar ilmu salah. Aku pernah pukul guru aku. Ya Allah aku kesal! Aku tak akan ulangi lagi!"
 
Seketika kemudian saya terdengar lagi suara dahsyat itu bergema-gema bertempik lebih dahsyat daripada guruh.
 
"Malekkkkkkkkkkkkkkk!!! Allah memberi izin kembalikan semula nyawa engkau. Allah izinkan engkau hidup kembali ke dunia!"
 
Hati saya berasa seronok mendengar jaminan itu. Saya bersyukur dapat hidup lagi di dunia tetapi mengapa saya tidak boleh bangun? Tubuh saya masih tidak dapat bergerak-gerak. Sedang saya memikirkan keadaan diri, saya terdengar lagi suara bergema-gema yang lebih dahsyat daripada halilintar.
 
"Malekkkkkkkkkkkkkk!" suara itu memanggil menyebabkan badan saya terasa seperti hendak berkecai. "Engkau diberi izin kembali ke dunia dengan syarat, khabarkan kepada seluruh manusia di atas muka bumi bahawa suara aku ini tidak akan tertahan didengar oleh seluruh manusia, itu belum lagi aku memberi seksa di dalam kubur!"
 
Saya terasa takut yang amat sangat. Ngeri mendengar tempikan suara tersebut. Saya terbayangkan panasnya api marak menyala, bisa ular, jengking dan segala haiwan berbisa serta seksaan demi seksaan yang menakutkan di alam barzakh.
"Ya Allah aku bertaubat. Aku bersetuju dengan syarat tersebut tetapi mengapa tubuhku ini masih tidak boleh bangun! Kenapa aku masih dalam liang lahad?"
 
Kemudian saya terdengar lagi suara itu bergema-gema.
 
"Malekkkk!" Jangan tinggalkan sembahyang lima waktu. Jangan buat apa yang dilarang Allah dan jangan menghalalkan apa yang diharamkan Allah!"
 
Berkali-kali saya membuat pengakuan bersumpah dengan nama Allah bahawa tidak akan melakukan perkara yang dilarang itu dan mengikut segala suruhan-Nya. Saya menangis tidak berhenti-henti kerana takutkan azab Allah. Saya amat takut jika diazab Munkar dan Nakir.
 
Saya tahu saya memang berdosa. Saya belajar ilmu syirik tapi segala barangan yang saya pernah belajar seperti azimat, tangkal dan minyak penunggu telah saya buang ke Sungai Pengkalan di Alor Gajah, Melaka.
 
Saya berazam tidak akan disesatkan lagi oleh hulubalang yang menjadi pendamping saya. Hulubalang itu bukan pendamping nabi-nabi seperti yang diajar guru ajaran sesat itu. Tetapi hulubalang itulah jin Ifrit yang menyesatkan manusia seperti diberitahu pak cik yang mengubat saya.
 
Saya sedar malaikat-malaikatlah yang menjaga para nabi dan rasul bukan hulubalang, jin Ifrit atau hantu. Selama ini saya buta melihat kebenaran. Sekarang saya tahu syaitan, jin Ifrit adalah makhluk paling jahat di muka bumi.
 
Semasa sedang meratapi nasib, tiba-tiba saya mendapati saya sudah berada di suatu kawasan perkuburan di Kampung Jelatang. Tubuh saya masih dibaluti kain kapan. Saya bersyukur dapat hidup semula dan kembali ke dunia. Saya tidak sabar-sabar lagi hendak balik ke rumah dan menemui ibu saya.
 
Saya terus berjalan kaki di kawasan perkuburan mencari-cari jalan pulang ke rumah. Semasa berjalan itu saya bertemu beberapa orang penduduk kampung.
 
Mereka terjerit-jerit berkata: "Hantu! Hantu!" Ada yang berkata: "Eh! Malek hidup balik! Malek hidup balik!"
 
Lalu saya beritahu penduduk yang saya belum mati lagi tetapi Allah taala izinkan saya hidup semula! Ketika itu saya bercadang hendak bercerita peristiwa yang saya lalui di alam kubur.
 
Saya juga bercadang hendak menceritakan tentang suara gempita lebih dahsyat daripada halilintar yang saya dengar dalam liang lahad tetapi saya takut diketawakan.
 
Saya berasa hendak menghebahkan suruhan jangan tinggal sembahyang, jangan buat perkara-perkara haram dan jangan menghalalkan apa yang haram yang dipesan oleh suara itu tetapi takut orang kampung tidak percaya.
 
Saya khuatir orang akan menuduh saya gila. Fikiran saya ketika itu teringat surah al-Fatihah dan saya terus baca sampai habis.
 
"Bismillahir Rahman Nirrahim. Alhamdulillah hirabbil a'lamin..."
 
Selepas habis membaca al-Fatihah barulah orang kampung berani mendekati saya. Orang kampung berkata: "Betullah Malek hidup semula!"
 
Saya terus berjalan dan singgah di rumah seorang bapa saudara bernama Pak Lang Syarif. Pak cik saya itulah yang membantu membukakan kain kapan.
 
Pak Lang Syarif berkata: "Pak Lang percaya engkau masih hidup, bukan hantu!"
 
Setelah kain kapan dibuka, automatik saya terjaga. Saya memandang sekeliling. Saya tidak lagi berada dalam liang lahad, perkuburan atau kampung saya di Melaka, tapi di atas katil rumah baru kami di Petaling Jaya. Bila saya tertidur? Entah. Seingat saya sebelum itu saya berehat di katil, tapi kemudian tiba-tiba saja berada di dalam liang lahad. Tangan saya sekarang boleh menguit-nguit. Nafas saya tercungap-cungap. Dada saya berdebar.
 
Saya terus ceritakan mimpi menggerunkan itu pada mak, Salmah Manaf. Tubuh mak menggeletar apabila mendengar mimpi dahsyat yang saya alami.
 
Saya cuba ceritakan kisah yang terjadi dalam liang lahad sampai habis tetapi tidak berdaya. Saya sebak dan menangis. Saya betul-betul takutkan azab Allah. Tubuh saya masih menggigil mengenangkan apa yang telah berlaku.
 
Saya ceritakan pada mak saya pernah belajar ilmu sesat. Saya pernah buang barang-barang seperti tangkal dan minyak dalam sungai. Mak terkejut apabila mendengar cerita saya itu.
 
 
Saya tunaikan sumpah saya semasa bermimpi dalam liang lahad. Saya temui dua guru saya yang pernah saya tampar dan pukul. Saya peluk guru saya dan meminta maaf daripada mereka berdua. Saya benar-benar berubah selepas peristiwa itu.
 
Tetapi adatlah sebagai seorang manusia, iman tidak selalu kuat, ada pasang surutnya. Manusia selalu lupa pada janji. Apabila saya melakukan kesilapan saya terdengar kembali suara bergema-gema yang sangat dahsyat mengingatkan saya semula.
 
"Malekkkkldtkklddtkkkkkkkkkkk!!! Ingattttttttttttttttttttttttttttttt!!!"
 
Tiga kali suara yang lebih dahsyat daripada halilintar itu memberi peringatan kepada saya setiap kali saya cuba membuat dosa dan kesilapan. Selepas itu saya tidak terdengar lagi suara tersebut sampai sekarang.
 
Kesan daripada terdengar suara yang amat dahsyat itu saya susah untuk terperanjat jika terdengar bunyi petir, halilintar atau bunyi mercun berdentum-dentam.
 
Suara yang saya dengar di dunia, walau kuat macam mana pun, langsung tidak menggetarkan perasaan saya. Suara yang saya dengar dalam mimpi itu lebih dahsyat, bergempita tiada tolok bandingnya. Kalau manusia di dunia ini mendengar suaranya nescaya boleh menggelepar di situ juga dan terus mati.
 
Alhamdulillah, saya sudah habiskan cerita yang paling menakutkan dalam hidup saya. Saya betul-betul lega. Saya sudah sampaikan apa yang wajib saya cerita pada semua pembaca Mastika.
 
Andai kata pembaca Mastika menuduh cerita saya ini bohong atau untuk mencari publisiti, saya sanggup mati dipanah petir! Apa yang saya ceritakan ini sebagai menunaikan pesanan semasa saya bermimpi di dalam kubur.
 
Terpulanglah kepada pembaca hendak mempercayai cerita saya ini atau tidak. Yang penting saya sudah menyampaikannya kepada manusia lain. Soal bagaimana saya menjaga hukum-hakam dan amanah Allah selepas bermimpi itu biarlah ia menjadi rahsia diri saya sendiri.
 
Seperkara lagi saya hendak berpesan kepada pembaca. Renungkanlah kata-kata saya ini sebab sudah menjadi tabiat manusia mudah lupa. Apabila karam di lautan manusia akan berniat di hati, jika terselamat daripada lemas mereka akan menyembelih kambing untuk buat kenduri kesyukuran.
 
Tetapi apabila perahu hampir-hampir ke daratan manusia itu bertukar niat untuk sedekah pisang. Malangnya sebaik kaki menjejaki pasir pantai sekali lagi niat bertukar, kali ini cuma hendak bersedekah kulit pisang bagi makan kambing! Manusia mudah lupa!
*******************************
Saya dalam cerita di atas ialah Abdul Malek Jantan, 49. Mimpi menggerunkan yang dialaminya itu berlaku ketika dia berusia 18 tahun. Malek terpaksa menyimpan cerita ini selama 32 tahun kerana setiap kali dia hendak menghabiskan cerita dia tidak sanggup. Dadanya sebak. Badannya menggeletar. Seperkara lagi Malek takut bercerita pada individu yang tidak memahami bimbang mereka menganggap dia seorang yang tidak siuman.
 
Sumber: Mastika 7, 2006
 Penulis:    Sahidan Jaafar 
Terbitan asal:    Mastika Julai 2006
url artikel
: http://grenbara.bravejournal.com/entry/ 



CERITA NI SUNGGUH MENGINSAFKAN..SEMOGA MENJADI IKTIBAR KEPADA KITA..AAMINN..